Anda di sini

Dakwaan Warisan tidak berasas

Advertisement

Berhubung MA63,  hanya bersifat retorik politik


KOTA KINABALU : "Saya agak terkejut kerana badan biro perundangan tersebut telah menyalahtafsirkan cara pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Penasihat Undang-Undang  MySabah, Tengku Fuad Ahmad.

Beliau berkata Perjanjian Malaysia 1963 adalah bertujuan untuk mencapai konsensus dan kerjasama di antara negeri Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu agar membentuk Persekutuan yang lebih teguh.

"Artikel VIII Perjanjian Malaysia 1963 juga memperuntukkan bahawa konsensus dan kerjasama di antara kerajaan Persekutuan dan Borneo adalah diperlukan berdasarkan Bab 3 dan Lampiran A dan B kepada, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1963.

"Jelas termaktub dibawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan bahawa kuasa untuk membuat undang-undang dibahagikan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri.

"Oleh yang demikian, untuk merealisasikan dan melaksanakan MA63, kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri perlu mempunyai persetujuan bersama untuk menyelaraskan pelaksanaan kuasa masing-masing seperti yang termaktub di dalam MA63, katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, beliau melihat Pakatan Harapan mempunyai aspirasi dan tujuan yang sama dengan Barisan Nasional (BN).

Justeru jelas beliau, kenyataan dari Biro Perundangan Parti Warisan adalah tidak berasas kerana biro tersebut secara langsung atau tidak langsung memberi maksud bahawa Sabah boleh bertindak secara unilateral dalam melaksanakan MA63 jika dua-pertiga daripada DUN bersetuju.

"Ini kerana, Artikel 4(3) Perlembagaan Persekutuan akan membatalkan undang-undang tersebut.

"Di bawah Artikel 4(3) telah memperuntukkan kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan mana-mana undang-undang yang telah diluluskan oleh DUN Sabah jika melebihi kuasanya di bawah Jadual Kesembilan. Secara ringkas, suatu undang-undang yang telah diluluskan oleh majoriti dua-pertiga daripada DUN akan menjadi tidak sah.

"Di bawah Artikel VIII Perjanjian Malaysia 1963 juga menjelaskan bahawa kata sepakat adalah diperlukan di antara Borneo dan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan perjanjian tersebut.

"Oleh itu, sebuah Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan ditubuhkan bagi tujuan devolusi hak-hak ke Sabah dan Sarawak. Ini merupakan suatu langkah yang luar biasa bagi rakyat Sabah dan Sarawak kerana 22 tahun yang lalu, hak istimewa mereka ditindas dan tidak dipedulikan oleh Perdana Menteri pada masa itu, " katanya.

Tambah beliau lagi, terdapat satu isu disalahtafsir yang mana United Kingdom didakwa masih mempunyai peranan dalam pelaksanaan MA63.

Namun jelasnya, UK tidak lagi berperanan dalam pelaksanaan MA63 kerana, Artikel VIII Perjanjian Malaysia 1963 tidak memerlukan penglibatan Inggeris dalam merealisasikan perjanjian tersebut.

Tambahan pula, Akta Malaysia 1963 (United Kingdom) yang diluluskan oleh Parlimen United Kingdom memisahkan hubungan di antara United Kingdom, Sabah dan Sarawak untuk tujuan pembentukan Malaysia.

"Dengan mengatakan bahawa Malaysia mesti tunduk kepada undang-undang United Kingdom adalah satu penghinaan terhadap kedaulatan negara Malaysia.

"Selanjutnya, 'ancaman' Parti Warisan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Persekutuan ke London untuk proses timbangtara adalah tanpa asas undang-undang dan hanyalah omong kosong, " katanya.

  • oleh
  • Advertisement