Anda di sini

Esscom tahan mandur bersama enam PTI

Advertisement
ESSCOM menahan mandur ladang, enam PTI dan kenderaan pacuan empat roda ini mengikut Seksyen 34 (5) Atipsom 2007.
ESSCOM menahan mandur ladang, enam PTI dan kenderaan pacuan empat roda ini mengikut Seksyen 34 (5) Atipsom 2007.

TAWAU: Seorang mandur ladang dan enam pendatang tanpa izin (PTI) ditangkap dalam operasi bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Jalan Merotai-Kalabakan, kira-kira 90 KM dari Bandar Tawau.

Kejayaan itu susulan penahanan kenderaan pacuan empat roda oleh pasukan keselamatan menerusi rondaan rutin kira-kira jam 8.15 pagi pada Khamis di kawasan kedai pangkalan.

Difahamkan, kesemua mereka keluar dari dalam ladang untuk ke kedai kerana ingin membeli bekalan makanan harian namun terserempak pasukan keselamatan.

Komander Esscom Dato’ Hazani Ghazali berkata, mandur ladang berusia 66 tahun yang memandu kenderaan terbabit, disyaki menjadi ketua kerja kepada kesemua PTI terbabit.

“Kesemua PTI yang ditahan berusia antara 16 hingga 26 tahun dan bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Batu 8 Jalan Kalabakan-Sapulut,” katanya pada Jumaat.

Hazani berkata, penahanan terhadap kesemua tahanan berkenaan dijalankan selepas hasil pemeriksaan mendapati enam penumpang terlibat tidak mempunyai keterangan diri.

Mandur ladang terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 34 (5) Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

“Kesemua tahanan sudah dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut, pada masa sama kita turut menahan kenderaan pacuan empat roda yang digunakan suspek.

“Kita merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan termasuk polis, tentera dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang komited menjalankan tugas,” katanya.

Menurutnya, komitmen bersama penting untuk memastikan perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) terhindar daripada aktiviti yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman negara.

Mengulas lanjut, orang awam diajak menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Esscom (089-863181) atau menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan susulan.

  • oleh
  • Advertisement