Anda di sini

Bot dilarang melabuh sauh, elak kerosakan batu karang

Advertisement

KOTA KINABALU: Tindakan pemandu bot menurunkan sauh ketika menurunkan penumpang di kawasan snorkeling dan tapak selaman melahirkan kebimbangan dalam kalangan penyelam tempatan di Semporna.

Seorang Dive Master berjaya merakamkan gambar tindakan tidak bertanggungjawab pemandu bot yang sewenang-wenangnya menurunkan sauh di kawasan snorkeling di Pulau Timba-Timba Semporna pada 4 April.

Beliau memaklumkan Utusan Borneo bahawa pemandu bot tidak dibenarkan melabuhkan sauh di kawasan snorkeling mahupun tapak selaman bagi mengelakkan berlaku kerosakan terhadap batu karang di kawasan sekitar.

Namun, ketiadaan pengetahuan mengenai perkara berkenaan mungkin menyebabkan pemandu bot bertindak melabuhkan sauh tanpa mengetahui perbuatan itu sebenarnya adalah satu kesalahan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun ketika dminta mengulas mengenai perkara itu berkata, beliau sudah mengarahkan Setiausaha Tetap kementeriannya dan Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) Sabah meminta penjelasan bertulis daripada pengusaha bot yang didapati bertindak sebegitu bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Dr Jamili Nais mengesahkan aduan mengenai pemandu bot melabuhkan sauh itu berlaku di luar kawasan kawalan TTS.

Sementara itu, Pengurus Taman TTS Semporna Bonnie Antuniu berkata jika insiden sedemikian berlaku di kawasan TTS dan terdapat bukti yang jelas menunjukkan perkara itu dilakukan pemandu bot maka, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Enakmen Taman-Taman Sabah 1984.

Katanya, pihak TTS memang tidak membenarkan mana-mana pengusaha bot melabuhkan sauh di kawasan snorkeling/tapak selaman kerana ia dikhuatiri akan merosakkan batu karang yang berada di dasar laut.

Menurutnya kesalahan itu boleh menyebabkan pengusaha bot dikenakan hukuman denda sehingga RM3,000 jika sabit kesalahan. Namun, ia bergantung kepada kerosakan batu karang yang berlaku akibat sauh berkenaan.

Dalam kes kerosakan batu karang yang disebabkan penggunaan tongkang di laut, beliau menjelaskan kesalahan itu boleh dihadapkan ke mahkamah dan membawa hukuman denda mencecah RM500,000 atau penjara selama lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Ia kerana, kerosakan batu karang disebabkan oleh tongkang sangat besar.

“Walaupun kes melibatkan pemandu melabuhkan sauh ini dikategorikan kes terpencil namun, siasatan akan dilakukan jika ia berlaku di kawasan TTS.

“TTS memang ada menjalankan rondaan di sekitar pulau-pulau di bawah TTS,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Bonnie berkata, jika terdapat laporan sedemikian, TTS akan menjalankan siasatan dan membuat laporan polis terhadap individu yang dikenal pasti melakukan kesalahan itu bagi tindakan selanjutnya.

Advertisement