Anda di sini

MPI terima sumbangan RM331,000 jayakan Malam wartawan Malaysia 2018

Advertisement

KUALA LUMPUR: Institut Akhbar Malaysia (MPI) menerima sumbangan berjumlah RM331,000 bagi menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2018 yang dijangka diadakan pada 13 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Dr Chamil Wariya berkata sumbangan itu diterima daripada 37 badan korporat, agensi kerajaan dan organisasi media melalui pembelian meja dan sumbangan kewangan.

“Saya bersyukur terdapat sumbangan berterusan daripada beberapa syarikat yang menunjukkan penghargaan mereka terhadap sumbangan media tempatan selain menyedari kepentingan media kepada mereka.

“Di samping itu, kami merakamkan penghargaan atas kesediaan pihak Petronas untuk terus menaja Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) sejak 1994 sehingga kini,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan Malam Wartawan Malaysia 2018 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) semalam.

Sementara itu, Chamil berkata HKM MPI Petronas 2017 menerima 347 penyertaan daripada pengamal media sehingga tarikh tutup pada 16 Jan lepas, meningkat 56 penyertaan berbanding HKM MPI Petronas 2016.

Penyertaan tertinggi melibatkan Penulisan Rencana Cemerlang iaitu 46, Kewartawanan Foto Cemerlang (43), Dokumentari Video Terbaik (30), Foto Esei Cemerlang (27) dan Berita Video Terbaik (25).

Sebanyak 20 kategori dipertandingkan termasuk Anugerah Khas Juri, Anugerah Tokoh Wartawan dan Anugerah Tokoh Media.

Pemenang bagi setiap kategori akan membawa pulang RM10,000, sijil dan trofi manakala dua penerima sagu hati akan menerima RM1,000 dan sijil.

Bagaimanapun tiada penerima hadiah sagu hati bagi kategori Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail, Anugerah Khas Juri, Anugerah Tokoh Wartawan dan Anugerah Tokoh Media.

Bagi penerima Hadiah Kajai, pemenang akan membawa pulang wang tunai RM30,000, sijil dan trofi serta hadiah iringan lain. — Bernama

Advertisement