Anda di sini

KKLW perluas program diploma pengurusan desa ke Sabah

Advertisement
 Borhan (enam kanan) bergambar bersama JKKK/JKDB dari Kota Marudu dan Matunggong yang menyertai Program Sijil Tadbir Urus Desa JKKK/JKDB.
TERBAIK: Borhan (enam kanan) bergambar bersama JKKK/JKDB dari Kota Marudu dan Matunggong yang menyertai Program Sijil Tadbir Urus Desa JKKK/JKDB.

KOTA KINABALU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mungkin akan melebarkan program diploma berkaitan pengurusan desa dan pembangunan luar bandar ke Sabah pada masa akan datang.

Langkah itu bagi membolehkan lebih ramai pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) dilengkapkan dengan pengetahuan terkini yang akan membolehkan mereka mengurus kampung dan desa dengan lebih baik.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Borhan Dolah berkata buat masa ini terdapat dua program diploma yang ditawarkan iaitu Diploma Eksekutif Pembangunan Luar Bandar (DEPLB) di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) serta Diploma Pengurusan dan Pengurusan Luar Bandar di UniKL.

Katanya program diploma itu adalah lanjutan daripada Program Sijil Tadbir Urus Desa JKKK/JKDB yang giat dilaksanakan di seluruh negara sejak 2017.

“Sehingga kini, terdapat 7, 592 JKKK, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) di seluruh negara sudah menyertai program berkenaan.

“Ia termasuk 1,146 peserta dari JKKK/JKDB di Sabah. Di seluruh Sabah, terdapat 2,985 JKKK dan JKDB yang akan menjalani latihan berkenaan secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Sijil Tadbir Urus Desa Infra-UniKL bagi daerah Kota Marudu dan Matunggong, di sini pada Rabu.

Menurutnya, penglibatan JKKK/JKDB dalam Program Sijil Tadbir Urus Desa itu akan membantu mempermudahkan pembangunan dilaksanakan di kawasan luar bandar. Ia sekaligus akan membantu merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Borhan berkata dalam membangunkan kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar, tahap pengetahuan pimpinan di peringkat akar umbi harus dipertingkat supaya mereka boleh bergerak seiring dengan pembangunan semasa.

Buat masa ini katanya, penyertaan JKKK/JKDB dalam program persijilan itu ditanggung sepenuhnya oleh KKLW namun untuk program di peringkat diploma, sebahagian yuran pengajian perlu ditanggung sendiri oleh peserta.

Beliau menyarankan kepimpinan di peringkat akar umbi di negeri ini supaya terus membantu kerajaan melaksana dasar dan program luar bandar.

Beliau percaya Manifesto Barisan Nasional (BN) yang menyatakan akan membina jalan luar bandar sejauh 12,500km untuk Sabah dan Sarawak akan membuka ruang meningkatkan ekonomi masyarakat luar bandar.

Advertisement