Anda di sini

Siasat dahulu keadaan sebenar

Advertisement
 Dr Christina (kiri) menyaksikan Rosmadi (dua kiri) menyempurnakan gimik perasmian Pameran Aset Perubatan Klasik Borneo Utara di Kompleks Muzium Sabah.
SIASAT DAHULU: Dr Christina (kiri) menyaksikan Rosmadi (dua kiri) menyempurnakan gimik perasmian Pameran Aset Perubatan Klasik Borneo Utara di Kompleks Muzium Sabah.

KOTA KINABALU: Jangan hanya melihat pada kelemahan serta kekurangan yang terdapat pada perkhidmatan hospital, sebaliknya ketahui dahulu keadaan sebenar sebelum membuat tuduhan liar.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata demikian ketika membalas kenyataan satu berita portal yang menyentuh kelemahan fasiliti hospital di seluruh Malaysia termasuk beberapa hospital di Sabah.

“Saya melihat laporan itu tidak disertakan sumber penulisnya. Penulis hanya berniat mencari kesalahan dan kelemahan pihak hospital tetapi bukan kebaikan yang kita sampaikan.

“Berita itu berat sebelah, tidak adil... sekiranya benar sebut siapa penulis berkenaan dan kita akan tahu apa niat sebenar individu terbabit,” katanya ketika ditemui di Majlis Perasmian Pameran Aset Perubatan Klasik Borneo Utara di Kompleks Muzium Sabah pada Selasa.

Beliau berkata, perkhidmatan yang diberikan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sentiasa berkualiti, dengan tenaga kerja yang berkemahiran dan infrastruktur setaraf dengan fasiliti di tempat lain.

Tidak dinafikan katanya, memang wujud kelemahan kerana perkhidmatan kesihatan tidak 100 peratus sempurna.

“Dari segi bangunan yang perlu diganti, lif rosak dan kekurangan bekalan ubat, ia bukan kesilapan hospital sebaliknya ia melibatkan satu rangkaian besar perolehan yang diperlu diberikan perhatian.

“Sekiranya kekurangan ubat, ia adalah dari rangkaian perkhidmatan kerana kami bukan membuat ubat, sebaliknya ia dibekalkan. Oleh itu, silapnya mungkin datang dari segi proses perolehan dan penghantaran,” katanya.

Menurutnya, JKNS sentiasa bertanggungjawab dalam menggantikan kemudahan yang rosak. Sebagai contoh, lif di hospital Sandakan sedang diperbaiki dan dijangka siap pada Mei depan.

Katanya, dalam perkara itu, ia mempunyai proses perolehan tersendiri memandangkan projek pembaikan itu terletak dalam tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) dan mereka juga mempunyai prosedur yang perlu dipatuhi dan proses itu wajar untuk dihormati.

“Berkaitan dengan ubat-ubatan, tidak dinafikan sejak kebelakangan ini kita berhadapan masalah kekurangan bekalan ubat, kadang-kadang kita tidak dapat bekalkan untuk satu tempoh yang diperlukan.

“Apa yang lakukan adalah memaklumkan dan memberi ubat kepada pelanggan kita untuk satu tempoh singkat. Kami tidak akan meminta pelanggan mencari ubat di tempat lain.

“Saya harap orang awam dapat menghargai perkhidmatan yang diberikan, kita bukan mahu dipuji sebaliknya hanya ingin menyampaikan keadaan sebenar dan bukannya hanya lihat kepada kelemahan yang mungkin sementara sahaja,” katanya.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datu Rosmadi Datu Sulai.

Advertisement