Anda di sini

Dua pengedar ditahan bersama 30.3kg dadah bernilai RM1.7 juta

Advertisement
ZULKIFLI (tengah) bersama Hamzah (dua kanan) menunjukkan bungkusan dadah semasa sidang media pagi tadi.
ZULKIFLI (tengah) bersama Hamzah (dua kanan) menunjukkan bungkusan dadah semasa sidang media pagi tadi.

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sekali lagi mengagalkan cubaan penyeludupan masuk dadah ke negeri ini apabila berjaya merampas 30.3 kilogram (kg) syabu bernilai RM1.7 juta di dua lapangan terbang baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata, kesemua bungkusan dadah dirampas pada 8 April masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) dan Lapangan Terbang Lahad Datu.

Tambahnya, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berumur 26 dan 27 tahun yang tiba di lapangan terbang terbabit dengan membawa bungkusan dadah selepas menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur.

“Tangkapan pertama berjaya dibuat di LTAKK apabila sepasukan anggota kastam mengesan objek mencurigakan di dalam bagasi suspek kira-kira jam 11.46 pagi.

“Hasil pemeriksaan lanjut berjaya menemukan 15 paket hablur jernih yang disimpan di dalam paket teh berwarna kuning jenama ‘guanyinwang’ yang dipercayai dadah jenis syabu seberat 15.1kg, dianggarkan bernilai RM834,240,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kastam Sabah, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kastam Sabah Datuk Hamzah Sundang.

Zulkifli berkata, kira-kira jam 4.30 petang hari sama, pihaknya turut menahan seorang lagi lelaki selepas menemukan 15.2kg syabu bernilai RM837,485 di dalam bagasinya.

Menurutnya, suspek dipercayai rakan sejenayah daripada sindiket pengedaran dadah yang sama apabila didapati membawa dadah di dalam bungkusan plastik teh sama selain melalui penerbangan dari Kuala Lumpur.

Dalam pada itu beliau berkata, Kastam Sabah turut merekodkan rampasan ganja seberat 7.9kg bernilai hampir RM20,000 seterusnya menggagalkan tiga cubaan penyeludupan ganja di negeri ini.

“Dua rampasan masing-masing 2.9 dan 3.0kg ganja dilaksanakan pada 16 dan 22 Mac di Pejabat Kastam Cawangan Bungkusan Pos di sini, manakala selebih 1.0kg dilakukan di Pejabat Pos Tawau pada 19 Mac.

“Hasil siasatan bagi ketiga-tiga kes mendapati, sindiket menggunakan nama dan nombor telefon palsu pada bungkusan,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Januari sehingga April pihaknya berjaya merekodkan 11 tangkapan membabitkan cubaan penyeludupan dadah melalui lapangan terbang serta cawangan bungkusan pos dengan berat kasar sebanyak 148.5kg membabitkan nilai keseluruhan sejumlah RM7.9 juta.

SEBAHAGIAN daripada dadah yang berjaya dirampas sepasukan anggota Kastam Sabah.
SEBAHAGIAN daripada dadah yang berjaya dirampas sepasukan anggota Kastam Sabah.
  • oleh
  • Advertisement