Anda di sini

Terus pergiat kempen keselamatan jalan raya

Advertisement
 Joniston (dua kiri) dan Yeo (tiga kiri) melawat tapak pameran yang dibuka pada  Program #ShellSelamatSampai (#SSS).
UTAMAKAN KESELAMATAN: Joniston (dua kiri) dan Yeo (tiga kiri) melawat tapak pameran yang dibuka pada Program #ShellSelamatSampai (#SSS).

KOTA KINABALU: Shell diharap terus mempergiatkan kempen keselamatan jalan raya di Sabah dan menjangkau lebih banyak sektor bagi menjalankan usaha itu selain daripada persatuan teksi dan e-hailing.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai berkata keselamatan jalan raya adalah satu isu yang harus dipandang tinggi kerana mempunyai kaitan dengan aktiviti pelancongan dalam negeri.

“Kami amat menghargai kerjasama ini dan saya memuji inisiatif Shell untuk melibatkan bukan sahaja pelajar sekolah tetapi juga pemandu teksi, menganjurkan keselamatan jalan raya serta berkongsi budaya keselamatan dengan komuniti ini.

“Shell sebagai syarikat minyak dan gas yang bertanggungjawab mengutamakan keselamatan sebagai aspek penting dalam semua operasinya telah mengambil langkah ini untuk berkongsi kepakaran keselamatan mereka kepada komuniti.

“Ia kerana, pemandu teksi termasuk mereka yang berada dalam perkhidmatan e-hailing bertanggungjawab untuk memastikan pelanggan sampai ke destinasi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program #ShellSelamatSampai (#SSS) di sini pada Isnin.

Joniston berharap semua sektor yang mempunyai kaitan dengan pelancongan termasuklah pemandu teksi dan e-hailing memainkan peranan mereka dalam membekalkan perkhidmatan pengangkutan selesa dan selamat.

Beliau berkata mereka adalah duta bagi memastikan pelancong atau pelanggan mereka selamat ketika menggunakan perkhidmatan itu.

“Dengan menguruskan keselamatan jalan raya akan memberi kesan kepada reputasi negeri sebagai destinasi pelancongan kerana keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab semua orang dan marilah kita terus menyokong agenda keselamatan jalan raya untuk semua.

“Pelancongan adalah salah satu penyumbang utama kepada ekonomi Sabah yang mana pada tahun lalu kita menerima sejumlah 3.684 juta pelancong iaitu peningkatan lebih 7.5 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Turut hadir, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai, wakil kanan Shell Prithipal Singh, Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Arfian Julian, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Ismail Ali dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sabah Janet David.

Advertisement