Anda di sini

Pekerja kilang didakwa tipu tawaran kontrak bekal beras RM100,000

Advertisement
 Ng Ngui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Ayer Keroh semalam  atas pertuduhan menipu dengan menawarkan kontrak membekal beras yang tidak wujud melibatkan kerugian sebanyak RM100,000, dua tahun lepas. — Gambar Bernama
KES TIPU: Ng Ngui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Ayer Keroh semalam atas pertuduhan menipu dengan menawarkan kontrak membekal beras yang tidak wujud melibatkan kerugian sebanyak RM100,000, dua tahun lepas. — Gambar Bernama

MELAKA: Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Ayer Keroh di sini semalam atas pertuduhan menipu dengan menawarkan kontrak membekal beras yang tidak wujud melibatkan kerugian sebanyak RM100,000, dua tahun lepas.

Ng Ngui Kee, 44, dari Kuching, Sarawak didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Ng Choon Wee, 54, di Public Bank Jalan Ong Kim Wee, di sini pada 30 Jun 2016.

Perbuatan tertuduh mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM100,000, dengan mangsa tidak akan menyerahkan wang berkenaan jika tidak diperdayakan sedemikian.

Lelaki itu yang ditangkap kelmarin, didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Lee Kim Keat membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri pada setiap bulan di balai polis berdekatan.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Mei untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

Advertisement