Anda di sini

Abdul Karim sokong tubuh akademi golf di Petra Jaya

Advertisement

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyokong saranan agar Kelab Golf Petra Jaya dijadikan akademi golf remaja.

Menurut Abdul Karim, saranan tersebut dilihat sangat bertepatan dalam usaha Sarawak untuk melahirkan pemain golf yang mampu menyinar hingga ke peringkat antarabangsa.

“Kita semakin kekurangan ‘driving range’ di Kuching. Ketika ini hanya Kelab Golf Sarawak (KGS) yang mempunyai fasiliti demikian untuk peminat golf menjalani latihan.

“Kalau tiada ‘driving range’ agak sukar untuk peminat menjalani latihan. Kerana itu saya melihat akademi ini boleh digunakan bagi melahirkan pemain-pemain golf yang baru,” beliau berucap semasa mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa Majlis Makan Malam Dan Penyampaian Hadiah Trofi Cabaran Golf P194 Petra Jaya di salah sebuah hotel di sini malam tadi.

Pemain golf N8 Satok bergambar beramai-ramai bersama (barisan kedua, dari tujuh kiri) Fadillah, Karim dan Sharifah selepas majlis penyampaian hadiah.
Pemain golf N8 Satok bergambar beramai-ramai bersama (barisan kedua, dari tujuh kiri) Fadillah, Karim dan Sharifah selepas majlis penyampaian hadiah.

Abdul Karim menambah, pembinaan akademi golf di kelab itu juga dapat membantu mengekalkan ‘kehijauan’ di kawasan tersebut yang agak terbiar ketika ini.

Malah, beliau percaya Ketua Menteri juga amat menyokong saranan berkenaan dalam usaha membangunkan lagi industri sukan dan pelancongan di Sarawak.

Terdahulu, Menteri Kerja Raya yang merupakan penyandang kerusi parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof melahirkan harapan agar akademi tersebut menjadi realiti agar Sarawak dapat melahirkan pemain golf professional di masa akan datang.

Menurutnya, golf hari ini bukan sahaja dilihat sebagai sukan namun ia telah berkembang menjadi profesion yang kian digemari.

Sementara itu, pasukan N8 Satok muncul johan edisi ke-10 kejohanan yang diadakan di KGS pada 7 April lalu selepas pasukan itu mencatat skor net keseluruhan 1,559.

Tempat kedua milik N7 Samariang dengan 1,594 manakala N6 Tupong tempat ketiga dengan 1,642. 

Hadir sama, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri  (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh; ADUN Daro Safiee Ahmad dan Presiden Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak, Tan Sri Dato Sri Abang Khalid Abang Marzuki.
 

  • oleh
  • Advertisement