Anda di sini

Realisasi aspirasi rakyat

Advertisement
 Abang Johari (dua kiri) menunjukkan buku Manifesto BN Sarawak PRU14 pada majlis pelancarannya di Ibu Pejabat PBB, semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing serta Dr Sim (kiri).
TERBAIK: Abang Johari (dua kiri) menunjukkan buku Manifesto BN Sarawak PRU14 pada majlis pelancarannya di Ibu Pejabat PBB, semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing serta Dr Sim (kiri).

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak berikrar untuk memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan janji-janji dalam Manifesto BN Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bagi tujuan itu Manifesto BN Sarawak PRU14 dilancarkan dengan memberi penekanan kepada enam teras utama.

"Hari ini (semalam) kita melancarkan Manifesto BN Sarawak untuk melengkapkan Manifesto BN PRU14 yang diumumkan oleh Perdana Menteri (Najib) pada 7 April lepas dan paling penting, memberi jaminan aspirasi rakyat Sarawak menjadi realiti," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Manifesto BN Sarawak PRU14 di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Parti Rakyat (PRS) Sarawak Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian,  Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing dan Presiden Parti (UPP) Rakyat Bersatu Dato Sri Wong Soon Koh.

Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata, Manifesto BN Sarawak PRU14 bertemakan 'Transformasi Sarawak Melalui Ekonomi Digital, Kesinambungan dan Peluang-Peluang Baharu.'

Menurut beliau, dalam Manifesto BN PRU14 terdapat bab khas, 'Senyum Sabah dan Sarawak' yang menunjukkan Perdana Menteri amat komited membangunkan Sarawak dalam aspek infrastruktur, pendidikan dan mengembalikan hak-hak Sarawak seperti yang tersenarai dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Setakat ini, beliau telah mengadakan 61 lawatan kerja ke Sarawak dengan menghadiri 163 program dan mengumumkan sekitar RM4 bilion untuk pembangunan semasa program lawatan mesra beliau ke negeri ini," katanya.

Abang Johari berkata, teras pertama Manifesto BN Sarawak PRU14 ialah BN Sarawak akan terus melindungi hak-hak Sarawak dan memelihara keharmonian dan perpaduan.

"Kedua, kami akan terus menyediakan kemudahan dan peluang pendidikan yang lebih baik. Ketiga, kami akan terus mempertingkatkan transformasi luar bandar.

"Keempat, kami akan terus meningkatkan kualiti hidup rakyat. Kelima, kami akan terus mewujudkan peluang-peluang baharu untuk kemajuan dan kemakmuran berterusan dan yang keenam, kami akan terus mengamalkan tadbir urus yang baik dan berintegriti," katanya.

Antara lain yang disentuh Abang Johari ialah Kerajaan BN Sarawak akan meneruskan usaha mendapatkan semula hak-hak Sarawak seperti dalam MA63 kerana Perdana Menteri telah menyatakan persetujuan mengembalikan hak-hak tersebut secara konsensus.

Perdana Menteri juga katanya, bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa peringkat tinggi antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk membincangkan hak-hak Sarawak dalam MA63.

"Baru-baru ini, Empangan Hidroelektrik Bakun secara rasmi diserahkan kepada Sarawak... Bakun sekarang milik kita.

"Kita juga telah mencapai kejayaan dalam usaha mendapatkan hak ke atas minyak dan gas dengan menguatkuasakan Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak," katanya.

Dari aspek hak-hak Sarawak pula, beliau berkata, Sarawak akan menuntut agar kedudukan Sarawak dikembalikan seperti termaktub dalam Perlembagaan persekutuan yang asal.

BN Sarawak juga katanya, akan menuntut peningkatan geran khas daripada kerajaan persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan persekutuan.

"Kita juga menuntut pemberian pampasan kepada kerajaan negeri atas kehilangan pendapatan dengan pemansuhan duti import produk petroleum," katanya.

Menyentuh teras untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat beliau berkata kerajaan negeri akan terus melindungi alam sekitar, membanteras aktiviti pembalakan haram dan mempertingkatkan kesejahteraan hidup di bandar raya, bandar, kampung dan rumah panjang.

  • oleh
  • Advertisement