Anda di sini

Pemancing dikhuatiri hilang enjin bot terbakar

Advertisement
PASUKAN SAR melakukan perbincangan sepanjang operasi dijalankan.
PASUKAN SAR melakukan perbincangan sepanjang operasi dijalankan.

LABUAN: Seorang pemancing dikhuatiri hilang selepas enjin bot yang dinaiki bersama seorang lagi rakannya terbakar di perairan Pulau Rusukan Besar, di sini awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Daerah Labuan Kapten Maritim Che Adnan Md Isa berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu rakan mangsa berjaya diselamatkan oleh bot nelayan lain yang berada berhampiran, bagaimanapun mangsa gagal ditemui di sekitar lokasi kejadian.

"Maklumat awal kejadian berlaku apabila mangsa yang dikenalpasti sebagai Sally Juparin, 25, bersama rakannya keluar memancing kira-kira jam 10 pagi Ahad dan tidak pulang ke rumah sebelum ahli keluarga mangsa bertindak mencarinya di laut.

BOT mangsa yang terbakar di bahagian enjin .
BOT mangsa yang terbakar di bahagian enjin .

"Mereka kemudiannya menemukan bot yang digunakan mangsa tersadai di Pulau Kuraman dalam keadaan terbakar pada jam 6 petang Isnin," katanya.

Menurutnya, hasil maklumat daripada rakan mangsa berumur 18 tahun yang terselamat daripada kejadian mendakwa beliau bersama mangsa bertindak terjun ke laut semasa bot terbabit terbakar dan cuba berenang ke Pulau Rusukan Besar.

"Arus laut yang deras semasa kejadian menyebabkan mangsa hilang dari pandangan manakala rakannya berjaya diselamatkan bot nelayan lain yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian," katanya.

Adnan berkata, bertindak daripada maklumat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) segera mengaktifkan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mengesan mangsa yang dikhuatiri hilang.

"Operasi dilaksanakan sebuah kapal peronda APMM dan bot daripada Pasukan Gerakan Marin (PGM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), kumpulan nelayan iaitu rakan mangsa yang hilang.

"Pencarian di sekitar sempadan negara Brunei turut dijalankan oleh Pasukan Polis Marin negara terbabit," katanya.

Beliau juga mengharapkan agar orang ramai terutama warga nelayan melakukan persiapan selengkapnya sebelum turun ke laut berikutan keadaan cuaca kini yang tidak menentu.

  • oleh
  • Advertisement