Anda di sini

Bicara kes rasuah Lim dan Phang ditangguh 21 Mei

Advertisement
 Lim hadir ke Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan kes rasuah dengan Phang berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran. — Gambar Bernama
SERIUS: Lim hadir ke Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan kes rasuah dengan Phang berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Perbicaraan kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng  dan ahli perniagaan Phang Li Koon di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan kepada 21 Mei kerana Lim perlu membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 walaupun penangguhan itu dibantah pihak pendakwaan.

Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud membantah permohonan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim untuk menangguhkan perbicaraan itu atas alasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum menetapkan tarikh untuk penamaan calon.

“Saya memohon supaya perbicaraan diteruskan,” kata Masri di hadapan  Hakim  Datuk Hadhariah Syed Ismail.

Terdahulu Gobind memohon maaf kepada mahkamah kerana Lim tidak hadir pada prosiding semalam atas alasan mempunyai urusan rasmi.

“Saya mohon satu penangguhan kerana Parlimen telah dibubarkan oleh perdana menteri. Oleh itu kami perlu masa untuk bersedia bagi pilihan raya. Kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan, saya cadangkan supaya pengurusan kes ditetapkan awal bulan Mei bagi tentukan hala tuju perbicaraan,” katanya.

 Hakim Hadhariah membenarkan permohonan peguam itu atas alasan ia berkaitan isu mengenai proses pilihan raya dan mahkamah juga tidak boleh menjalankan kes tanpa kehadiran tertuduh.

“Saya tidak boleh jalankan kes tanpa tertuduh, saya juga tidak boleh tunggu tertuduh. Saya tetapkan 10 Mei untuk pengurusan kes bagi pastikan isu-isu berkaitan proses pilihan raya diselesaikan,” katanya dan menambah, mahkamah akan menyambung semula perbicaraan pada tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini 21 Mei hingga 25 Mei.

Bagaimanapun selepas mahkamah menangguhkan kes, Gobind bersama peguam-peguam lain yang mewakili Lim membuat sidang media di pekarangan mahkamah bagi menjelaskan kes itu yang turut dihadiri oleh Lim.

Di luar mahkamah Masri memberitahu media bahawa pihaknya bersedia menjalankan kes dan 14 saksi pendakwaan juga bersedia memberikan keterangan semalam.

“Kami bantah permohonan penangguhan itu kerana SPR masih belum tetapkan tarikh penamaan calon. Kita masih boleh teruskan bicara untuk minggu ini. Alasan  peguam untuk tangguhkan kes tidak kukuh,” katanya.

Setakat ini hanya dua hari perbicaraan kes itu berlangsung pada 26 dan 27 Mac lepas kerana pihak pembelaan memohon untuk menangguhkan kes atas alasan Gobind dan Lim mahu menghadiri sesi pembentangan usul persempadan semula kawasan pilihan raya dan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 26 Mac hingga 30 Mac dan 9 April hingga 12 April bagi perbicaraan. Pihak  pendakwaan telah memanggil 25 saksi dan dijangka akan memanggil 29 lagi saksi.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isteri Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim, 58, dituduh  melakukan kesalahan tersebut ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009  yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan, nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta yang tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya (Lim).

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 21 Okt  2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Phang  juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Lim dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di tempat dan pada tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit  kesalahan. — Bernama

Advertisement