
KOTA KINABALU: Penglibatan dan sokongan setiap warga hospital terhadap program Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) yang antara lain menekankan persekitaran kerja yang bersih pasti membantu warganya bekerja dengan lebih sistematik seiring dengan penerapan imej korporat.
Timbalan Pengarah 1, Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr Yogendran Panchalingam berkata, persekitaran yang bersih dan kondusif bukan saja membantu warga hospital bekerja dengan selesa dan selamat malah membantu meningkatkan imej hospital sekali gus membina keyakinan yang tinggi dalam kalangan sasaran organisasi.
Tambahnya, warga kerja hospital bukan sahaja perlu menjaga keperibadian serta kebersihan diri sebaliknya perlu peka terhadap kebersihan persekitaran kerana kedua-dua faktor menpengaruhi mutu perkhidmatan ke arah yang lebih cemerlang.
Dr Yogendran berkata demikian semasa melancarkan Program Gotong-Royong Perdana EKSA kali kedua 2018 di pekarangan lobi HQE Aras 2, pagi Jumaat.
Hampir seluruh warga HQE terdiri daripada ketua-ketua jabatan, pegawai perubatan, jururawat dan kakitangan pengurusan daripada setiap wad dan klinik hadir menjayakan program.
Majlis pelancaran dimulai dengan sesi senamrobik diikuti penyampaian hadiah dan sijil Pertandingan Stor Terbaik seterusnya bergerak memulakan gotong royong ke seluruh kawasan wad dan klinik.
Antara tumpuan program gotong-royong termasuklah sekitar Jabatan Rehabilitasi serta Unit Hemodialisis.
Hadir sama Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Jasnawati Jasmin serta Pengerusi Jawatankuasa Promosi EKSA Peringkat HQE Arshad Abdul Majid.