
KOTA KINABALU: Dua kapal Jepun masing-masing kapal perang jenis Destroyer JS Akizuki dan kapal selam latihan JS Michishio akan berada di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu (PTKK) sehingga Isnin.
Kapten Ryoko Azuma yang mengetuai kedua-dua kapal yang dikendalikan seramai 330 kru termasuk 35 pelatih berkata, sebelum ini mereka bertolak dari Katsuren Jepun dan singgah di Sabah sebelum meneruskan perlayaran ke Subic Filipina.
“Pelayaran ini membawa dua misi termasuk mendedahkan pelatih baharu berkenaan pengetahuan serta ilmu kelautan selain melatih mereka untuk mempelajari budaya masyarakat lain di kawasan yang dilawati untuk memperkembangkan lagi pengalaman serta pemikiran sepanjang latihan,” katanya.
Menurutnya, Jepun kini komited kepada startegi Indo-Pasifik yang terbuka berikutan kedua-dua negara iaitu Jepun dan Malaysia berkongsi ilmu kelautan yang hampir sama semasa menjalankan operasi di laut.
“Saya harapkan lawatan kali ini akan mewujudkan kerjasama baik antara kedua-dua pihak bukan sahaja antara pihak pertahanan Jepun (JMSDF) dan TLDM tetapi juga antara Malaysia dan Jepun,” katanya.
Sementara itu Penolong Ketua Staff TLDM Komander Mohd Harris Haidi berkata, pihaknya mewakili seluruh warga PTKK mengalu-alukan kedatangan kesemua kru kapal JMSDF Jepun di sini.
Katanya, beliau turut mengharapkan agar sesi lawatan kali ini akan mengukuhkan lagi kerjasama serta pertukaran budaya antara dua pihak besar.