Anda di sini

Drama mini digital ‘3 Gadis Manis’ kembali serba baharu, lebih santai

Advertisement
 (Dari kiri) Fahad Iman, Dee Alhadi, Yaya Zahir, Hannah Delisha dan Raja Jastina. — Gambar Astro
KEMBALI LAGI: (Dari kiri) Fahad Iman, Dee Alhadi, Yaya Zahir, Hannah Delisha dan Raja Jastina. — Gambar Astro

BAGI memberi lebih pilihan untuk kandungan alaf baharu, portal hiburan Gempak membawakan kembali karya digital kompak berjudul ‘3 Gadis Manis 2’ atau ‘3GM2’ menerusi penerbitan ‘Gempak Original Series’ sebagai daya tarikan terbaharu di platform digital.

Masih mengekalkan format penceritaan yang sama tetapi kali ini dengan kisah yang berbeza, drama mini ‘3GM2’  tidak terikat dengan konsep berat sebaliknya mengangkat genre komedi romantik yang bersifat lebih santai.

Drama ‘3GM2’ akan berdurasi selama 15 minit sepanjang 7 buah episod dan bakal disiarkan sepenuhnya secara eksklusif menerusi platform digital di www.3gadismanis.com.my dan aplikasi Gempak mulai 9 April 2018 (esok) untuk pilihan yang fleksibel merentasi sempadan.

Karya pendek digital terbitan Gempak dengan kerjasama produksi Wayang Works Sdn Bhd ini diarahkan oleh sutradara Junad M. Nor serta turut dibantu oleh Nadirah Zakariya selaku Pengarah Bersama manakala Junad M. Nor juga bertindak sebagai penulis skrip.

Lokasi utama penggambaran drama ‘3GM2’ telah dijalankan di sekitar Lembah Klang serta mengambil masa hanya 5 hari untuk diselesaikan.

Sama seperti musim terdahulu, ‘3GM2’ masih mempertaruhkan tiga pelakon wanita sebagai tonggak utama untuk menjayakan drama ini.

Mereka terdiri daripada pelakon & penyanyi jelita dari Singapura yang mula dikenali menerusi drama bersiri ’Mencintaimu Mr Photographer’, Hannah Delisha, pelakon & pengacara program infotainment hlive Yaya Zahir dan pelakon baharu yang cukup diingati menerusi watak ‘Aida’ dalam iklan komersial ‘Dugaan Raya Aida’ yang tular tahun lalu Dee Alhadi.

Ini merupakan kali pertama Hannah Delisha dan Yaya Zahir terlibat dengan penerbitan drama mini digital. Manakala bagi Sharifah Diana pula, ini merupakan pengalaman berlakon drama yang pertama buat beliau.

‘3GM2’ juga turut menampilkan pelakon muda berbakat besar Aedy Ashraf dan Fahad Iman selalu teraju utama untuk musim ini.

Kesemua barisan pelakon telah dipilih dengan teliti agar bersesuaian dengan watak yang akan dibawa untuk memberi penjiwaan yang berkesan. Personaliti juga penting dalam proses pemilihan pelakon.

Drama mini ‘3GM2’ mengisahkan persahabatan tiga gadis jelita iaitu Jo, Nina dan Mar yang mula terjalin sejak mereka mula tinggal bersama.

Biarpun mereka mempunyai latar belakang yang berbeza, namun mereka sentiasa menyokong dan membantu satu sama lain dalam apa jua keadaan. Mereka juga saling memberi inspirasi untuk terus tabah menghadapi cabaran hidup serta dalam mencari cinta sejati.

Terdahulu, drama ‘3GM’ musim yang pertama pada tahun lalu berjaya mencatatkan lebih 7 juta jumlah tontonan dengan 16 juta capaian digital.

Musim tersebut turut menampilkan selebriti muda popular seperti Ayda Jebat, Mira Filzah, Christina Suzanne, Alvin Chong dan Dottie sebagai teraju utama.

Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Kandungan Studio Astro dalam satu kenyataan, trend menghasilkan karya pendek digital pada masa kini telah membuka dimensi baharu kepada pasaran kandungan tempatan secara keseluruhannya.

“Keberkesanannya telahpun terbukti menerusi pelbagai program terbitan Gempak sebelum ini seperti ‘The House’ dan ‘Mata Cinta’.

“Format drama bersiri dalam bentuk kompak juga pantas meraih populariti yang cukup luar biasa sehingga meletakkan drama ‘3GM’ musim yang pertama di antara senarai program yang paling banyak ditonton menerusi portal Gempak.”

Tambahnya lagi, “Menghasilkan karya pendek bukanlah perkara mudah seperti yang disangka kerana ia menuntut kemahiran naratif penceritaan yang kreatif agar kandungan tersebut mempunyai jalan cerita yang boleh diterima secara global oleh peminat seni hiburan khususnya golongan ‘Malaynials’.

”Selain itu, idea asal sesebuah karya tersebut juga mestilah di luar kotak dan mempunyai stail tersendiri walaupun nampak santai. Ia harus mampu membuatkan penonton menjiwai karya tersebut di samping berjaya menerapkan mesej yang positif buat masyarakat.”

Mengambil pendekatan berbeza daripada drama bersiri tempatan yang sedia ada, keunikan ‘3GM2’ terletak kepada kandungan visual yang kompak yang disiarkan sepenuhnya menerusi platform digital lantas memudahkan penonton untuk mengikut kisah mereka walau di mana mereka berada.

“Pemilihan barisan pelakon yang mempunyai pengaruh kuat dalam jaringan media sosial juga merupakan salah satu strategi bijak untuk menguasai penonton sasaran kami.

“Bagi memberi kelainan, ‘3GM2’ juga tidak mengekalkan barisan pelakon musim pertama sebaliknya membawa masuk wajah-wajah baharu dengan kisah penceritaan yang serba baharu,” katanya.

Advertisement