Rampas syabu, 3 laras bekakok dan 34 butir peluru

KINABATANGAN: Polis berjaya memberkas dua lelaki termasuk seorang yang disyaki pengedar dadah dalam tangkapan di sekitar daerah ini, pagi Jumaat.
Polis juga merampas tiga laras senjata api buatan sendiri atau bakakuk, 34 butir peluru hidup dan wang tunai RM1,030.00.
Ketua Polis Daerah, Superintenden A.Sahak Rahmat, berkata suspek berumur 28 dan 39 tahun ditahan secara berasingan oleh pihaknya.
"Pada 6 April 2018, kira-kira 10.30 pagi bertempat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kinabatangan menjalankan ujian saringan awal polis terhadap suspek pertama berumur 39 tahun," katanya.
Beliau berkata, hasil ujian positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
"Berpandukan soal siasat di tempat kejadian, tangkapan pertama telah mendedahkan dia membeli dadah dari seorang lelaki," katanya.
Beliau berkata, lebih kurang jam 11.15 pagi dengan berpandukan maklumat itu, polis telah menahan suspek kedua yang berumur 28 tahun.
"Sepasukan anggota Cawangan Jenayah Narkotik IPD Kinabatangan telah mengiringi suspek kedua ke rumahnya untuk buat pemeriksaan," katanya.
Sahak berkata, hasil pemeriksaan rumah suspek, polis menjumpai satu bungkusan plastik disembunyikan di atas siling bilik tidur rumah tersebut.
"Pemeriksaan lanjut ke atas plastik itu menjumpai tujuh paket plastik lutsinar besar berisi ketulan hablur jernih dan 62 paket plastik kecil berlainan saiz, juga berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah syabu dianggarkan seberat 50.94 gram bernilai RM5,000," katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut menjumpai tiga laras bakakuk dan 34 butir peluru hidup yang disembunyikan di atas bumbung rumah tersebut.
Pihaknya juga merampas wang tunai RM1,030.00, katanya.
Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.