Anda di sini

Lima negeri bubar DUN hari ini

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lima negeri semalam mengu­mumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing berkuat kuasa hari ini menyusuli pembubaran Parlimen ke-13, yang diu­mumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Setakat jam 6 petang, Sabah menjadi negeri pertama yang mengumumkan pembubaran itu diikuti Perlis, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi kawasan DUN negeri-negeri berkenaan diadakan serentak dengan peringkat Parlimen.

Perdana menteri semalam mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan ke­pada PRU14, berbeza dengan kelaziman pengumuman dan pembubaran dibuat pada hari yang sama.

Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dalam sidang akhbar di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, berkata beliau telah menda­patkan persetujuan daripada Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin kira-kira jam 2.30 petang di Istana Negeri bagi pembubaran DUN Sabah berkuat kuasa hari ini.

Di KANGAR, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man mengumumkan pembubaran DUN itu selepas mendapat perkenan Raja Perlis Tu­anku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Di JOHOR BHARU, Sul­tan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar memperkenan agar DUN Johor dibubarkan hari ini.

Berdasarkan kenyataan yang dimuat naik melalui laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, baginda berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor untuk memberi laluan kepada PRU14.

Di NEGERI SEMBILAN, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan mengu­mumkan pembubaran DUN berkuat kuasa setelah men­dapat perkenan Yang Diper­tuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Di MELAKA, DUN di­bubarkan esok setelah Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron mengadakan per­temuan dengan Yang Diper­tua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob hari bagi membolehkan pembu­barannya.

Bagi SELANGOR, satu istiadat pembubaran DUN Selangor akan diadakan di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah, Klang, Isnin (9 April) jam 10.30 pagi.

Sumber Istana Selangor berkata tarikh istiadat itu ditetapkan selepas mendapat perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara itu, di KEDAH, PERAK dan PAHANG, Menteri Besar berkenaan akan menghadap Sultan masing-masing esok bagi mendapat perkenan pembu­baran DUN.

Bagi tiga lagi negeri – TER­ENGGANU, KELANTAN dan PULAU PINANG, ketua kerajaan negeri berkenaan dijadual menghadap Sultan dan Yang Dipertua masing-masing untuk membolehkan DUN dibubarkan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dijadual menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin pada pagi Rabu (11 April) di Istana Syar­qiyyah untuk mendapat perkenan baginda bagi DUN dibubar­kan.

Semen­tara itu, Menteri Besar Ke­lantan Datuk Ahmad Ya­kob berkata beliau dijangka menghadap Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Mu­hammad Faiz Petra malam ini bagi memohon perkenan pembubaran DUN negeri itu.

Satu sidang media men­genainya akan diadakan jam 12 tengah hari ini.

Kerajaan DAP Pulau Pinang pula akan mengadakan mesy­uarat exco terlebih dahulu sebelum memutuskan tarikh pembubaran DUN.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata tarikh mesyuarat itu akan diumumkan kemu­dian. — Bernama

Advertisement