Anda di sini

Jemaah Menteri sedia ada merupakan Kerajaan Sementara

 

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri sedia ada merupakan 'Kerajaan Sementara' bermula dari masa pembubaran Parlimen sehingga jemaah menteri  baru dilantik selepas pilihan raya umum atau Parlimen bersidang semula selepas pilihan umum mengikut mana yang lebih awal.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa (gambar) dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini berkata kerajaan sementara boleh membuat tindakan-tindakan bagi maksud menjalankan urusan pentadbiran kerajaan  sehingga suatu kerajaan baru dibentuk.

"Antara contoh perkara pentadbiran tersebut ialah  seperti meneruskan pelaksanaan  dasar  sedia ada dan mengadakan  majlis rasmi kerajaan,”katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ali berkata konsep kerajaan sementara adalah suatu konvensyen perlembagaan  yang turut diamalkan di negara Komanwel seperti United Kingdom dan Australia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

Ali  merujuk kepada satu kes mahkamah berkata Mahkamah Persekutuan turut mengiktiraf  bahawa Jemaah Menteri  hendaklah ada pada setiap masa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong walaupun selepas Parlimen dibubarkan selaras dengan  peruntukan Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ali turut menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan Perkara 40 menyatakan bahawa Yang Di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Jemaah Menteri atau Menteri yang diberikan kuasa am oleh Jemaah Menteri. - BERNAMA