
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman semalam mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkuat kuasa hari ini.
Pembubaran itu dibuat serentak dengan pembubaran Dewan Rakyat hari ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan.
Dalam sidang akhbar kira-kira jam 3 petang di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini, Musa, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, berkata beliau telah mendapatkan persetujuan daripada Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin kira-kira jam 2.30 petang semalam di Istana Negeri di sini, bagi pembubaran itu.
“Setelah kita mencurahkan khidmat bakti dan mengabdikan diri kepada perjuangan membela nasib rakyat dan memajukan negeri Sabah yang tercinta ini, kini tibalah masanya untuk kita menyerahkan kembali mandat kepada rakyat yang dikasihi.
“Untuk itu, saya bersama-sama Jemaah Menteri Negeri Sabah mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama, sokongan dan komitmen yang tinggi kepada kerajaan negeri dalam menjayakan agenda pembangunan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Musa berkata BN telah menunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat pada PRU13 lalu dengan menjalankan amalan turun padang dan menyantuni serta membantu rakyat di seluruh negeri.
Katanya, BN telah melaksanakan pelbagai dasar dan agenda pembangunan untuk kepentingan rakyat, yang sudah tentu menjadi harapan BN agar rakyat membuat pilihan secara bijak dan terbaik berdasarkan pencapaian, kejayaan dan ‘track record’ yang membuktikan iltizam politik yang tinggi oleh kerajaan BN selama ini.
“Semoga rakyat terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada BN menerusi mandat yang besar dalam PRU akan datang demi menjamin kesinambungan pembangunan dan menjayakan Halatuju Negeri untuk kesejahteraan kita dan masa depan yang lebih cerah kepada generasi kita yang akan datang, khususnya di bumi bertuah yang tercinta ini, demi Sabah,” katanya. — Bernama