Anda di sini

Dua penjawat awam maut kereta rempuh jentera berat

Advertisement

KOTA MARUDU: Dua penjawat awam maut apa­bila kereta yang dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah jentera berat yang sedang melakukan kerja pembinaan jalan di Kampung Kanibongan Paitan, di sini pada Rabu.

Kedua-dua mangsa Joddy Kumin, 33, dan Sandro Vickie, 25, yang juga kakitan­gan Lembaga Industri Getah Sabah di Kota Marudu disa­hkan meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata hasil siasatan mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Pitas ke Kanibongan sebelum kereta yang dinaiki gagal dikawal dan melanggar jentera berat yang berada di tepi jalan.

“Proses bedah siasat kini sedang dijalankan dan ahli keluarga kedua-dua mangsa sudah dimaklumkan berk­enaan kejadian,” katanya sambil menambah, kes disia­sat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyela­mat Malaysia (JBPM) berkata pihaknya mendapat panggilan kecemasan berkenaan ke­jadian pada jam 10.07 malam sebelum menggerakkan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota bomba melakukan operasi mengelu­arkan dua mangsa tersepit di kenderaan dan menyerahkan mangsa kepada anggota polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya operasi keselu­ruhan ditamatkan pada jam 12.19 pagi.

Advertisement