
TAWAU: Sebuah kenderaan pacuan empat roda dikatakan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas di pembahagi jalan dan melanggar tiga kenderaan di Jalan Habib Sheikh, di Bandar Tawau, di sini pada Jumaat.
Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu yang dipercayai berusia dalam lingkungan 60-an berada dalam keadaan tidak sedarkan diri semasa ditemui orang ramai.
Salah seorang saksi, Haeruddin Mansur, 47, berkata kejadian itu disedarinya berlaku kira-kira jam 2.30 petang semasa berada di kedainya akibat terdengar bunyi dentuman yang kuat.
"Kami melihat sebuah kereta pacuan empat roda sudah terbabas dan melanggar kenderaan lain," katanya, sambil mendedahkan pemandu terbabit terbaring kaku di atas stering ketika ditemui.
Berikutan itu, Haeruddin berkata orang awam yang berada di lokasi kejadian kemudiannya menghubungi ambulan sebelum polis dan bomba tiba disusuli dengan kehadiran ambulan.
Setakat ini, polis yang dihubungi belum dapat mengesahkan status sebenar keadaan pemandu terbabit, namun beliau sudah dihantar ke Hospital Tawau melalui ambulan.