PENAMPANG: Dua remaja perempuan ditemukan lemas selepas terjatuh semasa beriadah bersama keluarga di sungai Kampung Kibunut di sini.
Ketua Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba John Radsung berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.50 petang tadi.
“Sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang digegaskan ke lokasi kejadian.
“Operasi menyelamat turut dibantu sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Kota Kinabalu dan anggota tiba di lokasi jam 2.23 petang,” katanya.
Menurutnya operasi mencari segera dijalankan bersama bantuan penduduk kampung dan mangsa berjaya ditemukan jam 3.13 petang.
“Mangsa ditemukan pada kedudukan kida-kira tujuh meter dari kawasan mangsa dilaporkan terjatuh.
“Identiti sebenar mangsa belum diperolehi dan maklumat daripada ahli keluarga mendapati kedua-dua mangsa berumur 15 tahun terbabit hanya dikenali sebagai Dinda dan Paulina,” katanya.
Menurutnya mangsa kemudian diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan jam 3.35 petang.