Anda di sini

Penerbangan sulung Wings Air Medan-Melaka 20 April

Advertisement
 Lim (tiga kiri) menunjukkan poster pembukaan laluan baharu dari Medan Indonesia ke Melaka menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam pada sidang akhbar semalam. — Gambar Bernama
MAJUKAN PELANCONGAN: Lim (tiga kiri) menunjukkan poster pembukaan laluan baharu dari Medan Indonesia ke Melaka menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam pada sidang akhbar semalam. — Gambar Bernama

MELAKA: Melaka menyasarkan 50,000 penumpang akan memasuki negeri itu sehingga akhir 2018 apabila anak syarikat Lion Group Indonesia, Wings Air memulakan penerbangan sulung dari Medan ke Melaka mulai 20 April depan.

Exco Pengangkutan, Pemulihan Projek dan Perdagangan Antarabangsa Melaka Datuk Lim Ban Hong berkata, syarikat tambang murah yang beroperasi dengan kerjasama Malindo Air, akan mendarat di Lapangan Terbang Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini dan menggunakan pesawat jenis ATR 72 dengan kapasiti sebanyak 72 penumpang pada satu-satu masa.

Menurutnya, laluan penerbangan selama kira-kira sejam itu merupakan destinasi ketiga Wings Air di Malaysia selain laluan Pontianak (Indonesia)-Kuching serta Pontianak-Miri.

“Penerbangan ke Melaka ini akan beroperasi setiap hari dengan kekerapan sekali sehari iaitu 4.30 petang waktu Malaysia dari  Medan dan tiba sejam kemudian serta bertolak semula pada 6 petang.

“Harga tiket adalah sekitar RM200 ke RM400 bagi perjalanan dua hala dan boleh dibeli secara dalam talian di laman sesawang Malindo Air (Malaysia) dan Lion Air (Indonesia),” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir Pengurus Stesen Malindo Air Asmawati Sapiae dan Pemangku Pengurus Malaysia Airports Sdn Bhd cawangan Melaka Zalina Zakaria.

Mengulas lanjut, Lim berkata pembukaan laluan baharu dijangka menggalakkan lebih ramai pelancong tempatan dan asing menggunakan LTAM sebagai pintu keluar masuk Melaka ke Medan dan sebaliknya.

“Ini akan turut meningkatkan sektor pelancongan perubatan di sini kerana ramai rakyat Indonesia ke Melaka untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan hospital swasta di negeri ini.

“Selain itu, penduduk Medan juga memberi perhatian kepada pembangunan dan kemajuan Melaka, khususnya sektor perumahan dan hartanah. Ini akan menggalakkan lebih ramai pelabur melabur dalam bidang hartanah serta pelancongan atau perhotelan,” katanya.

Selain itu, katanya, sebanyak 56,865 penumpang penerbangan menggunakan LTAM pada tahun lepas manakala 15,726 penumpang direkodkan dalam tempoh suku pertama tahun ini.

Beliau berkata, pada masa ini, hanya Malindo Air menawarkan penerbangan dua hala setiap hari dari LTAM ke Pulau Pinang dan Pekan Baru di Indonesia.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata kerajaan negeri Melaka telah mencadangkan empat laluan baharu menggunakan LTAM iaitu Guangzhou di China, Jakarta (Indonesia) selain destinasi tempatan iaitu Kota Kinabalu dan Langkawi, kepada syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia.

Menurutnya, cadangan itu masih dalam perbincangan dan menyifatkan perkembangannya sebagai positif, setakat ini. — Bernama

Advertisement