Anda di sini

Kekang kemasukan pengganas

Advertisement

SANDAKAN: Rondaan bersama Op Aman dapat mengeratkan hubungan kolaborasi antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seterusnya bersama Polis Bantuan Airport dalam mengekang kemasukan kumpulan-kumpulan pengganas dan militan di Lapangan Terbang Sandakan.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata memandangkan Lapangan Terbang Sandakan adalah dikategorikan sebagai kawasan sasaran, rondaan ini dibuat bagi meningkatkan omnipresence PDRM dan ATM di kawasan lapangan terbang terutamanya kawasan lanside bagi meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam. 

"Ia juga bagi menentukan keselamatan Lapangan Terbang Sandakan adalah terjamin agar masyarakat serta pelancong asing berasa selamat. Ianya juga berikutan ancaman daripada kumpulan militan, Daesh dan sebagainya yang sering menjadikan lapangan terbang sebagai sasaran utama mereka," katanya.

Azhar berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran Rondaan Bersama PDRM dan ATM NBOS-2 Lapangan Terbang Sandakan (Op Aman) 2018 di Lapangan Terbang Sandakan pada Khamis.

Rondaan bersama PDRM dan ATM NBOS Lapangan Terbang (Op Aman) Siri 1/2018 melibatkan anggota dari cawangan tugas IPD Sandakan, Batalion (BN) 20 PGA dan anggota tentera dari Kem Sri Kinabatangan.

Beliau berkata melalui rondaan ini juga mempertingkatkan tahap kesiapsagaan pasukan keselamatan dalam menghadapi situasi ancaman keselamatan negara serta daerah Sandakan khususnya dari dalam dan luar negara.

"Ia juga mencegah dan membanteras kejadian jenayah ragut, curi dan cubaan keganasan dalam kawasan lapangan terbang walaupun tiada kegiatan ini berlaku di Lapangan Terbang Sandakan buat masa ini.

"Dengan konsep rondaan ini, kita mengharapkan rondaan bersama ini dapat memberi kesan positif kepada keselamatan kawasan Lapangan Terbang Sandakan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kepada anggota-anggota yang akan bertugas dalam Op Aman Lapangan Terbang Sandakan ini supaya sentiasa menampilkan mutu disiplin diri yang tinggi, memberikan perkhidmatan kepada masyarakat apabila dikehendaki dengan mesra dan sentiasa menjaga imej semasa bertugas supaya dapat memberikan gambaran yang terbaik kepada masyarakat terhadap penugasan yang dijalankan.

  • oleh
  • Advertisement