Anda di sini

Beri kefahaman jelas dasar kerajaan kepada masyarakat: Radin

Advertisement
 Radin bersalaman dengan pemimpin setempat sebaik tiba pada majlis itu.
TAPIS SETIAP MAKLUMAT: Radin bersalaman dengan pemimpin setempat sebaik tiba pada majlis itu.

TENOM: Pemimpin masyarakat perlu memberi kefahaman mengenai dasar dan sistem pentadbiran kerajaan kepada masyarakat di bawah jagaan masing-masing.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Panglima Radin Malleh berkata, ia amat penting agar mereka tidak diperdayakan oleh pemimpin pembangkang yang kini masuk keluar kampung dan menabur fitnah serta janji kosong untuk menarik perhatian rakyat.

Katanya, tohmahan pemimpin pembangkang yang mengatakan kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal memberi pembangunan kepada rakyat adalah tidak berasas.

Beliau yang juga ADUN Melalap menjelaskan kerajaan BN telah menyalurkan pelbagai program pembangunan yang telah dinikmati oleh rakyat.

“Justeru, pemimpin masyarakat perlu memberi penjelasan kepada anak-anak buah jagaan masing-masing mengenai dasar dan program pembangunan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Ketua-Ketua Adat Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom, di sini pada Isnin.

Dalam masa yang sama, Radin menggesa pemimpin masyarakat agar bertanggungjawab di kampung masing-masing mengikut bidang kuasa tugas yang diamanahkan.

Beliau berkata, sebagai pemimpin masyarakat, mereka perlu ada kebijaksanaan dan tahu sistem pentadbiran di negara ini.

“Mereka juga perlu menyelidiki dan menapis setiap maklumat yang ditularkan dalam media sosial kerana tidak semua maklumat yang ditularkan itu benar,” katanya.

Katanya, masyarakat pada era globalisasi sering disogokkan dengan maklumat yang kurang tepat sehigga mereka terkeliru.

“Di sinilah pemimpin masyarakat memainkan peranan memberikan pencerahan agar masyarakat di bawah jagaan masing-masing tidak terpedaya dengan maklumat tidak tepat yang disebarkan oleh pembangkang,” katanya.

Radin turut mengingatkan agar pemimpin masyarakat memastikan penduduk di bawah jagaan masing-masing terus menyokong kerajaan BN untuk masa depan anak-anak mereka.

Hadir sama, Pegawai Daerah Tenom Madiyem Layapan, Penolong Pegawai Daerah Tenom Clarence Puin Pinduru dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Melalap Simon Mamat.

Advertisement