Anda di sini

Rakyat tidak rugi pilih BN yang berkemampuan tadbir negara

Advertisement
 Abidin (lima kiri) bersama rombongan dan penduduk Kg Bayag.
SOKONGAN PADU: Abidin (lima kiri) bersama rombongan dan penduduk Kg Bayag.

RANAU: Rakyat akar umbi tidak rugi memilih kerajaan Barisan Nasinal (BN) pada pilihan raya umum (PRU) nanti kerana ia telah terbukti berkemampuan mentadbir negara ini.

Bekas Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir berkata tiada sebab kenapa rakyat membelakangkan kemampuan BN yang telah berkongsi kuasa dengan parti komponen yang lain sejak sekian lama.

“Justeru, marilah kita berikan sokongan sepenuhnya kepada sesiapa sahaja calon BN pada PRU akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Penduduk Kg Bayag, 40 kilometer dari Pekan Ranau.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan penggunaan kalimah ‘Allah’ dan isu Alkitab sebagai bahan untuk berpolitik.

Katanya, ada individu atau kumpulan tertentu masih menggunakan kedua-dua isu itu sebagai bahan kempen politik mereka semata-mata mahu mengelirukan pemikiran rakyat dan menarik perhatian khususnya mereka yang beragama Kristian supaya membenci kerajaan.

Abidin yang merupakan seorang peguam dan dilantik sebagai penolong bendahari Jentera Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan menggesa penduduk supaya memberi sokongan padu kepada kepimpinan kerajaan yang diterajui BN untuk menikmati pembangunan berterusan, termasuk di kawasan luar bandar.

Menyentuh majlis itu, beliau menyifatkannya sebagai ruang dan peluang penduduk berkenal mesra antara satu sama lain khususnya beliau dan rombongan yang julung kali berkunjung ke kampung berkenaan.

“Marilah kita manfaatkan majlis ini bagi mempertingkatkan perpaduan, permuafakatan dan persaudaraan yang berkekalan tanpa mengira anutan agama,” kata yang bersara daripada perkhidmatan awam setelah menabur jasa selama 40 tahun.

Abidin turut menyeru penduduk supaya memberikan sokongan padu kepada sesiapa sahaja yang diletakkan sebagai calon BN pada PRU14.

Turut hadir ialah Pengerusi Penganjur Charles Rasumin, Ketua Kampung Bayag Adin Kimbuyo, Setiausaha Sulit ADUN Paginatan Jaibie Dualis dan Datin Florence Malingkid (isteri Abidin).

Advertisement