Anda di sini

Rainforest Fringe Festival kembali lagi untuk kali kedua, 6 hingga 15 Julai depan

 (Dari empat kiri) Joe, Karim dan Hii bersama yang lain memberi tanda ‘bagus’ selepas sidang media berhubung RFF 2018 semalam.
SERTAI KAMI: (Dari empat kiri) Joe, Karim dan Hii bersama yang lain memberi tanda ‘bagus’ selepas sidang media berhubung RFF 2018 semalam.

KUCHING: Rainforest Fringe Festival (RFF) kembali lagi untuk kali kedua dan akan berlangsung pada 6 hingga 15 Julai depan selepas kejayaan penganjurannya tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kali ini RFF akan mempersembahkan pelbagai acara kebudayaan, moden dan tradisi yang terikat dengan identiti Sarawak.

Beliau berkata festival ini adalah ‘acara pemanas badan’ sebelum Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) yang akan berlangsung pada 13 hingga 15 Julai 2018 di Kampung Budaya Sarawak dekat sini.

Katanya RFF yang berlangsung selama 10 hari itu juga memaparkan artis-artis tempatan dan antarabangsa termasuk pereka bentuk, jurugambar terkenal dan pakar-pakar penyampai.

“Sarawak mempunyai pelbagai jenis elemen di samping ekopelancongan. Negeri ini juga terkenal dengan identiti budaya dan tradisi daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“RFF pada dasarnya adalah untuk mempersembahkan Sarawak dan sesuai untuk semua kumpulan masyarakat bersama-sama meraikan kekayaan seni, sejarah dan alam semula jadi negeri ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitukmakmur dekat sini semalam.

Karim menambah, RFF 2018 yang akan diadakan di sekitar Kuching, dijangka akan memberi pengalaman berbeza kepada penduduk tempatan juga pelancong asing berbanding penganjurannya tahun lalu.

Sementara itu Pengarah Festival Joe Sidek berkata pengisian RFF 2018 ialah ‘Sarawak: The Indigenous Showcase’, ‘First People Party’, ‘Bamboo That Binds & Wood’, ‘The Rainforest Stories’ dan ‘Yoga in The Wild’.

“Sarawak: The Indigenous Showcase akan menjadi pembuka tirai festival RFF 2018, menampilkan persembahan daripada orang Sarawak termasuk tarian, lagu dan suara.

“Pertunjukan moden dan tradisional ini menampilkan tarian oleh Raziman Sarbini yang kini menetap di New York dan Dewi Liana Seriestha, penyanyi soprano berasal dari Kuching dan orang Malaysia pertama memenangi Miss World Talent 2014,” katanya.

Mengenai ‘First People Party,’ Joe berkata ia akan berlangsung di Black Box, Borneo 744 dan ia membawa maksud pesta orang asal dan ia berbentuk konsert yang mempamerkan persembahan kumpulan muzik elektrik dan ‘jiwa’ dari Australia, Electric Fields.

Bagi ‘Bamboo That Binds & Wood’, pula katanya, ia akan dianjurkan bersama Wendy Teoh juga di Borneo 744, bertujuan menggalakkan penggunaan buluh sebagai bahan mampan dan mempromosikan reka bentuk yang baik.

“Tayangan filem-filem berkaitan orang dan tanah Sarawak yang jarang ditayangkan di mana-mana antaranya Cinta Gadis Rhimba arahan Datuk L. Krishnan, akan dibuat dalam pengisian dikenali ‘The Rainforest Stories’.

“Yoga in Wild pula memperkenalkan Sarawak sebagai satu destinasi sesuai untuk merehatkan minda dan jasad dengan membawa sekumpulan peserta menyertai program yoga selama tiga hari dengan kerjasama Cove 55,” katanya.

Beliau menambah untuk menjadikan RFF 2018 satu pengalaman lengkap, masakan dan hidangan Sarawak juga akan diketengahkan sepanjang festival berlangsung.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee.