
TENOM: Nasib dan masa depan masyarakat luar bandar khususnya Murut di daerah ini akan terus dibela dan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan melindungi hak-hak rakyat Sabah.
Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi berkata, masyarakat Murut adalah antara suku kaum di Sabah yang harus dibela dan dilindungi kebajikannya kerana selama ini telah memberikan sokongan yang padu kepada kepimpinan kerajaan BN.
Katanya, masyarakat Murut juga antara kaum di Sabah dan Malaysia yang menyumbang kepada pembangunan negara seperti kaum yang lain.
“Kerajaan BN telah menunjukkan prestasi yang baik sejak menerajui kepimpinan negara dengan melaksanakan pelbagai pembangunan dan memberi bantuan kepada rakyat di bandar mahupun luar bandar.
“Ini termasuklah kebajikan masyarakat Murut, di mana pembangunan akan terus dilaksanakan di daerah ini seperti kemudahan jalan raya yang akan dinaik taraf di kawasan Ulu Tomani, hak terhadap tanah-tanah adat, peluang pendidikan, ekonomi penduduk, kemudahan asas, dan sebagainya.
“Selagi kerajaan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman memerintah negara ini, nasib masyarakat Murut akan terus diperjuangkan dan akan dijaga,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kenduri Kampung di Rumah Kebudayaan Ulu Tomani pada Jumaat.
Raime berkata, tugas pemimpin bukan mudah dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat harus dilaksanakan dengan baik, ikhlas dan mementingkan kesejahteraan rakyat.
“Rakyat perlu bijak menilai dan tidak mudah terperdaya dengan hasutan pihak pembangkang yang sentiasa menidakkan apa yang pihak kerajaan lakukan untuk membela nasib rakyat.
“Berkaitan jalan raya di Ulu Tomani, sekiranya menteri (KKLW) dahulu mendengar apa yang kami sebagai wakil rakyat di kawasan Tenom dan Kemabong kemukakan, masalah masalah projek seperti jalan raya ini akan dapat dilaksanakan di kawasan yang sepatutnya bagi memenuhi keperluan golongan sasar.
“Namun, sebaliknya berlaku dan mereka melaksanakan projek secara membuta tuli hingga menimbulkan masalah serta tanggapan negatif rakyat terhadap kerajaan, seolah-olah kerajaan dan wakil rakyat tidak membuat kerja untuk membantu rakyat,” katanya.
Pada program itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 ribu untuk membina dan menaik taraf Rumah Kebudayaan Kg Lalang serta menyumbang peralatan sukan dan kewangan kepada Persatuan Vinsaluk (Belia) kampung itu.
Turut hadir, Pegawai JASA Tenom Awang Musli Mohd Tusin, Pegawai Penerangan Tenom Kenny Thomas, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Tenom Ampalang Payu, Pemaju Mukim Purait Onsokol, Ketua Anak Negeri Amparau Tingkalu, Naib Pemuda UMNO Tenom Rusali Andiar, Ketua Kampung Bakuku Aling Ural dan Pengerusi JKKK Bakuku Konolius Ampus.