Anda di sini

Bahana menipu, banduan dipenjara dan disebat

Advertisement

MIRI: Seorang banduan dijatuhi hukuman penjara 30 bulan dan dua kali sebatan oleh Mahkamah Majistret semalam atas kesalahan menipu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya, kepentingan awam serta me-ngambil kira rekod kesalahan lampau tertuduh.

Mohammad Yazit Subagyo, 40, dari Kampung Pengkalan, Lutong didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun serta tidak melebihi 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati menipu Jungan Bidin, 55, agar mempercayai bahawa dia dapat membantu mangsa membeli dua kereta dari sebuah syarikat pengedar kenderaan di sini hingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM4,000 bagi tujuan mendapatkan kenderaan tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.30 petang, 12 Mei 2017 di hadapan sebuah bank di Jalan Permaisuri di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh yang diwakili peguambela Sam Laya memohon hukuman diringankan memandangkan dia telah berkahwin dan mempunyai dua anak yang masih kecil.

Tambahan dia amat menyesal dengan kesalahan yang telah dilakukannya.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Terdahulu, pada 31 Oktober 2017, tertuduh yang pernah bekerja sebagai jurujual kereta dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan tiga sebatan setelah mengaku bersalah atas tiga tuduhan menipu individu yang sama berhubung pembelian dua kereta.

Manakala pada 30 Januari lalu, tertuduh memfailkan permohonan semakan terhadap hukuman yang dikenakan ke atasnya itu di Mahkamah Tinggi di sini dengan alasan dia tidak begitu memahami ketiga-tiga tuduhan yang dibacakan terhadapnya sebelum ini.

Bagaimanapun, permohonannya itu ditolak dan mahkamah mengekalkan hukuman penjara yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret ke atasnya sebelum ini.

Advertisement