Anda di sini

Lima warga Brunei kasari penjawat awam dipenjara dua tahun

Advertisement
Lima tertuduh warga Brunei diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman hari ini.
Lima tertuduh warga Brunei diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman hari ini.

LIMBANG: Lima lelaki warga Brunei masing-masing dihukum penjara dua tahun dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memukul penjawat awam di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Tedungan, 28 Mac lalu.

Majistret Mohd Hafizi Abdul Halim yang menjatuhkan hukuman itu kepada Abdul Hakim Muhammad Irwan, 23; Md Shahril Hazmin Sabli, 23; Abdul Hafiz Muhammad Irwan, 28; Muhammad Khairuddin Othman, 30; dan Muhammad Fairuz Rezuan Farizal, 22 yang mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan.

Berdasarkan pertuduhan, kelima-lima tertuduh dihukum penjara lapan bulan dan denda RM2,000 di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang, kelima-lima tertuduh dihukum penjara 12 bulan dan denda RM2,000.

Kesemua tertuduh juga dihukum penjara empat bulan dan denda RM2,000 bagi kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan (menceroboh).

Mahkamah mengarahkan hukuman dijalankan serentak mulai tarikh tertuduh ditangkap iaitu 29 Mac (Khamis lepas) dan jika gagal membayar denda kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara empat bulan.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Polis Inspektor Sivanesrawan Nadaraja manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement