
RANAU: Orang ramai disaran supaya memahami dengan lebih mendalam mengenai bahaya penyakit buah pinggang kerana ia adalah pembunuh senyap kepada manusia.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, penyakit buah pinggang kronik adalah satu masalah yang berkekalan.
Katanya penyakit itu menyebabkan fungsi buah pinggang semakin berkurangan akibat pelbagai faktor dan memerlukan rawatan dialisis.
“Terdapat lebih 500 juta individu di seluruh dunia mengalami penyakit buah pinggang kronik.Lebih kurang 26,000 pesakit menjalani rawatan dialisis di Malaysia pada penghujung tahun 2012,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen Kesedaran Pencegahan Penyakit Buah Pinggang anjuran Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) dengan kerjasama Hospital Ranau di Dewan Perdana SMK Mat Salleh, di sini.
Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Setiausaha Politik yang juga Ketua Wanita UMNO Ranau Datuk Amisah Yassin.
Masidi yang juga ADUN Karanaan berkata, seramai 58 pesakit buah pinggang dicatat di Ranau sehingga tahun ini berbanding empat orang pada 2004, yang mana ia satu perkembangan yang amat membimbangkan.
“Peningkatan itu membimbangkan kita, justeru masyarakat perlu mengamalkan gaya hidup sihat sepanjang hayat dan dalam masa yang sama, perlu memahami langkah-langkah pencegahannya,” katanya.
Katanya mereka yang berisiko tinggi mengalami penyakit buah pinggang ialah golongan penghidap diabetes (kencing manis), tekanan darah tinggi, kerap memakan protein serta ubat penahan sakit, ubat tradisional, dan banyak lagi.
Simptom penyakit buah pinggang katanya, ialah badan rasa mudah letih, hilang selera makan, rasa loya dan muntah, kerap kencing terutamanya pada waktu malam, bengkak kaki dan muka, sukar bernafas, gatal-gatal seluruh badan dan pucat.
“Jika tanda-tanda ini berlaku, maka segeralah ke hospital mendapatkan rawatan peringkat awal, untuk ujian air kencing, pemeriksaan tekanan darah dan ujian darah,” katanya.
Hadir sama ialah Pengarah Hospital Ranau Dr Clarence D Sirisani dan Pengerusi ALPH Arthur Sen dan Ketua Pemuda UMNO Ranau Faez Nurdin.