Anda di sini

Deruman lebih 300 motosikal berkuasa tinggi bakal gegar Kuching

Advertisement
 Karim (tengah) bersama ahli jawatankuasa BIIBBF Ke-19 selepas mesyuarat penyelarasan penganjuran acara motosikal berkuasa tinggi itu.
BERSEDIA: Karim (tengah) bersama ahli jawatankuasa BIIBBF Ke-19 selepas mesyuarat penyelarasan penganjuran acara motosikal berkuasa tinggi itu.

KUCHING: Bandar raya ini akan digegarkan dengan deruman motosikal berkuasa tinggi sempena Festival Motosikal Berkuasa Tinggi Antarabangsa Kepulauan Borneo (BIIBBF) Ke-19 yang dijadual pada 6 hingga 8 April ini.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, lebih 300 motosikal berkuasa tinggi dijangka berkampung di bandar raya ini yang melibatkan peserta dari seluruh Kepulauan Borneo iaitu Sarawak, Sabah, Labuan, Brunei Darussalam dan Kalimantan.

“Seramai 120 bikers dari Brunei, 90 dari Indonesia, lebih 100 dari Sabah dan Sarawak termasuk dari Semenanjung Malaysia akan terlibat dalam festival ini.

“Ini adalah festival yang dinanti-nantikan oleh para bikers di Kepulauan Borneo termasuk Asia Tenggara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan BIIBBF Ke-19 di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.

Karim menambah, antara aktiviti yang akan dijalankan sempena festival tersebut adalah konvoi ke Kampung Budaya Sarawak, di mana para peserta akan disajikan dengan persembahan kebudayaan.

“Ini secara tidak langsung mempromosikan kebudayaan Sarawak termasuk bagi mereka yang datang dari Brunei, Kalimantan dan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Karim turut menyeru warga bandar raya ini khususnya agar bersama-sama mengunjungi BIIBBF kali ini yang akan diadakan di Tebingan Kuching bagi menyaksikan pameran motosikal berkuasa tinggi termasuk aktiviti lain.

Namun pada masa sama, beliau juga mengharapkan toleransi daripada orang ramai kerana acara tersebut bakal menyebabkan sedikit kesesakan lalu lintas serta menimbulkan bunyi bising.

“Keadaan seperti ini sudah pasti akan berlaku tetapi ia bukan selalu dan ini juga akan memberi keceriaan kepada bandar raya kita,” katanya.

BIIBBF merupakan acara tahunan yang dianjurkan secara bergilir-gilir dan menghimpunkan para penggemar motosikal berkuasa tinggi di seluruh Kepulauan Borneo di mana penganjuran tahun lepas diadakan di Kalimantan.

Antara misinya adalah untuk menyatukan penggemar-penggemar motosikal berkuasa tinggi di seluruh Kepulauan Borneo sekali gus mempromosikan negeri-negeri di dalamnya sebagai destinasi jelajah motosikal yang sangat unik untuk diterokai.

Pada masa sama, ia juga membantu menyumbang kepada industri pelancongan di seluruh Kepulauan Borneo.

Penganjuran BIIBBF Ke-19 yang turut disokong oleh kerajaan negeri akan dirasmikan pada 6 April oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg yang juga merupakan penggemar motosikal berkuasa tinggi.

Advertisement