
TUARAN: Seorang penggiat seni tempatan ditemukan maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 17.8 Kampung Kelawat di Jalan Tamparuli-Ranau di sini, petang tadi.
Mangsa, Zahrul Hilmi Badrul Hisam, 25 yang lebih dikenali sebagai Amy berasal dari Kampung Muhibbah Berungis Batu 18, Tuaran disahkan maut serta merta di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintenden Dzulbaharin Ismail berkata kejadian jam 1 petang membabitkan pertembungan sebuah motosikal berkuasa tinggi dan sebuah lori tiga tan.
"Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati lori tiga tan dipandu seorang lelaki berumur 55 tahun yang memandu dari arah Ranau ke Kota Kinabalu.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai gagal dikawal semasa melalui selekoh menaiki bukit sebelum masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan lori tiga tan terbabit," katanya.
Dzulbaharin berkata impak kemalangan menyebabkan mangsa meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
"Mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Mangsa pernah memasuki program realiti Akedemi Fantasia pada 2016 selepas memenangi program JoHaRockStar yang dibimbing kumpulan terkenal Estranged melalui Erafm.
Anak bongsu daripada empat adik beradik ini juga adalah pemain drum kepada kumpulan Papriqa selain vokalis kumpulan Busska Busker.
Beliau giat menyanyikan semula (cover) lagu daripada artis terkenal lain termasuk Ungu, Trevor Wesley, dan Akim and The Majistret yang dimuatnaik di laman Youtube.