Anda di sini

Gaza kebumikan mangsa korban hari paling berdarah

Advertisement

KOTA GAZA, Wilayah Palestin: Penduduk Gaza mengebumikan mereka yang terkorban kelmarin dengan seruan untuk “membalas dendam” sehari selepas protes besar-besaran mencetuskan pertelingkahan yang menyaksikan tentera Israel membunuh 16 penduduk Palestin dalam hari paling berdarah sejak perang pada 2014.

Acara pengebumian diselubungi kemarahan tatkala Amerika Syarikat (AS) menyekat satu draf kenyataan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa semua bersabar dan menuntut siasatan dijalankan berhubung pertelingkahan yang berlaku.   

Hanya beberapa ratus sahaja penunjuk perasaan kembali ke khemah yang didirikan di tapak dekat sempadan Semenanjung Gaza dengan Gaza untuk menyambung demonstrasi yang dirancang untuk diadakan selama enam minggu di wilayah yang dikepung itu.

Di medan diplomatik, ketua PBB Antonio Guterres dan ketua diplomatik Kesatuan Eropah (EU) Federica Mogherini menuntut “siasatan bebas dan telus” ke atas penggunaan peluru hidup oleh Israel.

Namun satu usul yang dikemukakan kepada Majlis Keselamatan PBB oleh Kuwait lewat kelmarin untuk menuntut langkah sedemikian ditolak oleh AS, kata seorang diplomat Majlis Keselamatan kepada AFP.

Israel mempertahankan serangan tentera ke atas penduduk Palestin yang memisahkan diri daripada protes utama oleh puluhan ribu penduduk dan mendekati pagar yang diperkukuhkan dengan ketat di sekeliling Semenanjung Gaza.

“Tahniah kepada askar kita,” tulis Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan kelmarin.

“Israel bertindak dengan bertenaga serta keazaman untuk melindungi kedaulatannya dan keselamatan rakyatnya.”

Seorang jurucakap tentera Israel berkata kejadian Jumaat lepas “bukan demonstrasi protes” tetapi “aktiviti pengganas terancang” oleh Hamas, yang sudah berperang sebanyak tiga kali dengan Israel sejak 2008.

“Jika ia berterusan, kami tidak ada pilihan kecuali untuk bertindak di dalam Semenanjung Gaza ke atas sasaran pengganas yang kami faham mendalangi kejadian ini,” kata Brigadier Jeneral Ronen Manelis.

Kementerian kesihatan Gaza berkata 35 orang mengalami kelukaan yang tidak mengancam nyawa dalam pertelingkahan tahap rendah di sepanjang sempadan kelmarin.

Ribuan menghadiri acara pengebumian bagi 14 yang terkorban, dua dikebumikan Jumaat lepas dan peserta membawa bendera Palestin dan ada yang melaung “balas dendam” dan melepaskan tembakan ke udara.

Sayap bersenjata Hamas, pergerakan Islamis yang mentadbir Semenanjung Gaza, berkata lima daripada mereka yang terbunuh adalah anggotanya yang mengambil bahagian “dalam acara popular di sisi rakyat mereka”.

Tentera Israel menyebut dalam satu kenyataan pada malam kelmarin bahawa 10 daripada mereka yang maut mempunyai “latar belakang keganasan yang didokumenkan” dalam Hamas dan kumpulan lain dan dibunuh “ketika melakukan perbuatan ganas”.

Selain 16 penduduk Palestin yang terbunuh, lebih 1,400 lagi cedera Jumaat lepas, 758 daripadanya kerana peluru hidup, manakala yang lain cedera terkena peluru getah dan terhidu gas pemedih mata, menurut kementerian kesihatan di Gaza.

Tentera Israel berkata anggota mereka melepaskan tembakan hanya bila perlu ke atas mereka yang melontar batu dan bom api atau menolak tayar ke arah askar.

Ia berkata cubaan dibuat untuk merosakkan pagar dan memecah masuk ke dalam Israel, selain satu cubaan serangan senjata api ke atas tentera.

Tiada kematian dilaporkan di kalangan rakyat Israel.

Penduduk Palestin menuduh Israel menggunakan kekerasan yang tidak sewajarnya, dan berkata askar menembak penunjuk perasaan yang tidak menimbulkan ancaman, manakala kumpulan hak asasi manusia mempertikaikan penggunaan peluru hidup oleh Israel.

Menteri Pertahanan Israel Avigdor Lieberman mengeluarkan kenyataan untuk menolak tuntutan bagi siasatan.

“Saya tidak faham korus hipokrit yang mahukan suruhanjaya inkuiri,” katanya dalam bahasa Ibrani dalam akaun Twitternya.

“Mereka menjadi keliru dan menyangka Hamas menganjurkan Festival Woodstock semalam dan kami harus memberi bunga kepada mereka.”

Presiden Palestin Mahmud Abbas mengisytiharkan semalam hari berkabung bagi seluruh wilayah dan dalam satu ucapan berkata beliau mempertanggungjawabkan Israel sepenuhnya bagi kematian yang berlaku.

Protes enam minggu itu diadakan untuk menyokong pelarian Palestin dan tempoh itu signifikan kerana pelbagai sebab yang telah memburukkan lagi ketegangan.

Ia bermula pada Hari Tanah, apabila penduduk Palestin memperingati pembunuhan enam penunjuk perasaan Arab yang tidak bersenjata di Israel pada 1976.

Protes akan diteruskan sehingga AS membuka kedutaan baharunya di Baitulmuqaddis sekitar 14 Mei, satu tindakan yang menimbulkan kemarahan penduduk Palestin, yang menganggap sektor timur di kota itu sebagai ibu kota negara mereka pada masa depan. — AFP

Advertisement