Anda di sini

Diplomat Rusia, AS pulang ke negara masing-masing

Advertisement
 Jet taht Il-96 Rusia membawa balik 46 diplomat Rusia dan ahli keluarga kelihatan di kawasan meletak kenderaan lapangan terbang Vnukovo II kerajaan Rusia di Mosow semalam. — Gambar AFP
SELAMAT TIBA: Jet taht Il-96 Rusia membawa balik 46 diplomat Rusia dan ahli keluarga kelihatan di kawasan meletak kenderaan lapangan terbang Vnukovo II kerajaan Rusia di Mosow semalam. — Gambar AFP

WASHINGTON: Diplomat Rusia dan Amerika Syarikat (AS) pulang ke negara masing-masing kelmarin dalam krisis diplomatik antara Moscow dengan dunia Barat, dan ketegangan pasca-Perang Dingin memuncak selepas satu serangan agen saraf ke atas seorang perisik Rusia di Britain.

Kira-kira 50 orang lelaki, wanita dan kanak-kanak meninggalkan kedutaan Rusia di atas bukit di Washington sejurus selepas jam 1.00 petang (waktu tempatan) dalam sebuah bas biru yang dipercayai menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles.

Pada keseluruhannya, 171 orang iaitu 60 diplomat Rusia yang Washington dakwa adalah “pengintip” dan keluarga mereka dijadual meninggalkan AS dengan dua pesawat yang disediakan oleh kerajaan Rusia, dengan sebuah yang singgah seketika di New York.

Sementara itu di Saint Petersburg, trak pindah tiba di pekarangan depan konsulat AS pada pagi kelmarin manakala bendera AS diturunkan, ekoran pengumuman Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov tentang penutupannya dan pengusiran 60 diplomat AS.

Pekerja konsulat diberi masa sehingga jam 10.00 malam untuk meninggalkan Rusia, manakala kediaman berkenaan mesti dikosongkan pada hujung April, menurut agensi berita Interfax.

Pengusiran balas-membalas itu berlaku selepas Rusia kelmarin meminta agar Britain mengurangkan lagi jumlah kakitangan diplomatik selepas krisis dalam hubungan antara Moscow dan dunia Barat meruncing berhubung satu serangan agen saraf ke atas seorang bekas pengintip.

Seruan itu dibuat selepas 23 diplomat British diusir dari Rusia pada awal bulan ini dan dilihat sebagai tindak balas Moscow kepada pengusiran bersepadu kakitangan diplomatik Rusia oleh sekutu UK.

Ia merupakan siri pengusiran terbesar antara Rusia dan dunia Barat dalam sejarah moden dan menyaksikan hubungan menjunam ke tahap terendah pasca Perang Dingin.

Krisis itu dicetuskan oleh keracunan pada 4 Mac lepas ke atas bekas ejen talam dua muka dari Rusia, Sergei Skripal, dan anak perempuannya Yulia di sebuah bandar raya Inggeris yang dikaitkan oleh Britain dengan Moscow, dengan menyatakan agen saraf gred tentera rekaan Soviet telah digunakan.

Pada Jumaat lepas, Moscow memanggil duta Britain, Laurie Bristow, dan memberi masa sebulan kepada London untuk mengurangkan jumlah kakitangan diplomatik di Rusia kepada jumlah sama kakitangan Rusia di Britain.

“Rusia mencadangkan kesamaan. Pihak British mempunyai lebih 50 orang lagi,” kata jurucakap kementerian luar Maria Zakharova kepada AFP.  

Bristow dipanggil bersama ketua misi dari 23 negara lain yang diberitahu beberapa diplomat mereka perlu meninggalkan Rusia.

Beliau diserahkan nota bantahan berhubung “tindakan provokatif dan tidak berasas pihak British yang menyebabkan pengusiran diplomat Rusia yang tidak wajar dari beberapa negara,” kata kementerian luar Rusia.

Di London, seorang jurucakap Pejabat Luar kelmarin berkata: “Kami sedang menimbang implikasi daripada langkah yang diumumkan semalam oleh kementerian luar Rusia.”

Pejabat Luar berkata ia menyesali perkembangan terbaharu tetapi menegaskan Rusia sebenarnya bersalah.

“Ini tidak mengubah hakikat mengenai perkara itu: cubaan membunuh dua orang di bumi British, yang tidak ada kesimpulan alternatif kecuali kesimpulan bahawa kerajaan Rusia bersalah,” katanya.

Sementara itu, Britain berkata ia sedang menimbang permintaan Moscow bagi akses konsular kepada anak perempuan Skripal, Yulia, yang melawat bapanya dari Rusia ketika serangan itu berlaku.

Wanita berusia 33 tahun itu keluar dari unit rawatan rapi Khamis lepas dan “semakin pulih dengan cepat”, menurut Hospital Daerah Salisbury.

Dia kini dalam keadaan stabil – dan BBC melaporkan dia sedar dan bercakap.

“Kami sedang menimbang permintaan bagi akses konsular selari dengan kewajipan kami di bawah undang-undang antarabangsa dan domestik, termasuk hak dan kehendak Yulia Skripal,” kata seorang jurucakap Pejabat Luar kepada AFP.

Sergei Skripal, 66, yang menjual rahsia kepada Britain dan berhijrah ke sana dalam satu pertukaran pengintip pada 2010, masih dalam keadaan tenat tetapi stabil.

Britain kelmarin turut mengakui bahawa pegawai sempadan telah memeriksa sebuah pesawat Aeroflot yang tiba dari Moscow dalam tindakan yang dikecam oleh Rusia sebagai perbuatan “provokasi yang ketara”.

Britain berkata ia menjalani pemeriksaan rutin ke atas pesawat untuk melindungi UK daripada jenayah terancang dan orang yang cuba membawa masuk bahan berbahaya ke dalam negara.

Krisis itu menyaksikan lebih 150 diplomat Rusia diarah meninggalkan AS, negara anggota Kesatuan Eropah (EU), negara NATO dan negara lain.

Pada Jumaat lepas, Rusia mengusir diplomat dari 23 negara kebanyakannya negara anggota EU untuk membalas tindakan dunia Barat.

Perancis, Jerman, Kanada dan Poland masing-masing berkata Rusia mengusir empat diplomat mereka.

Negara lain termasuk Australia, Ukraine, Belanda, Sweden, Republik Czech, Finland, Lithuania dan Norway turut diberitahu untuk mengeluarkan utusan mereka.

Britain telah menyatakan ia “berkemungkinan besar” bahawa Rusia bertanggungjawab bagi serangan ke atas Skripal menggunakan agen saraf Novichok, tetapi Rusia dengan marah menafikan sebarang pembabitan.

Britain telah menggantung hubungan diplomatik peringkat tinggi dengan Moscow, mengusir 23 diplomat, dan berkata ia tidak akan menghantar kerabat diraja ke kejohanan bola sepak Piala Dunia 2018 yang dihoskan oleh Rusia.

Rusia bertindak balas dengan mengusir 23 diplomat Britain, menutup konsulat Britain di Saint Petersburg dan menghentikan aktiviti organisasi pendidikan dan kebudayaan British Council. — AFP

Advertisement