Anda di sini

Rusia usir diplomat 23 negara dalam krisis mengenai perisik

Advertisement
 Sebuah bas mini meninggalkan sebuah bangunan konsulat Amerika Syarikat di Saint Petersburg semalam. Kelmarin Rusia mengumumkan pengusiran diplomat AS dan pentupan konsulat AS di Saint Petersburg untuk membalas tindakan bersepadu oleh negara barat bagi meminggirkan Moscow ekoran keracunan seorang bekas ejen talam dua muka di Britain. — Gambar AFP
KRISIS: Sebuah bas mini meninggalkan sebuah bangunan konsulat Amerika Syarikat di Saint Petersburg semalam. Kelmarin Rusia mengumumkan pengusiran diplomat AS dan pentupan konsulat AS di Saint Petersburg untuk membalas tindakan bersepadu oleh negara barat bagi meminggirkan Moscow ekoran keracunan seorang bekas ejen talam dua muka di Britain. — Gambar AFP

MOSCOW: Rusia mengusir diplomat dari 23 negara untuk membalas tindakan dunia Barat dalam krisis yang semakin meruncing mengenai perisik, dalam siri tindakan usir-mengusir terbesar dalam sejarah moden.

Kementerian luar Rusia berkata ia telah memanggil ketua misi dari 23 negara untuk memberitahu mereka bahawa beberapa diplomat mereka perlu meninggalkan negara itu.

Perancis, Jerman, Kanada dan Poland masing-masing berkata Rusia mengusir empat diplomat mereka.

Negara lain termasuk Ukraine, Belanda, Sweden, Republik Czech, Finland, Lithuania dan Norway turut disuruh mengeluarkan utusan mereka.

Tindakan itu diambil untuk membalas pengusiran diplomat yang bersepadu oleh Britain dan sekutunya berhubung serangan agen saraf ke atas bekas ejen talam dua muka Sergei Skripal dan anaknya Yulia di bandar Salisbury, England pada 4 Mac lepas.

“Ini sudah tentu tidak mengejutkan,” kata Menteri Belanda Stef Blok menerusi seorang jurucakap, yang merujuk kepada tindakan Moscow mengusir dua diplomat Belanda.

Britain telah menyatakan ada “kemungkinan besar” bahawa Rusia bertanggungjawab bagi serangan ke atas Skripal menggunakan agen saraf Novichok yang dibuat di Soviet Union, tetapi Rusia dengan marah menafikan sebarang pembabitan.

Selepas keracunan itu, Britain memulakan tindakan global dengan mengumumkan ia akan mengusir 23 diplomat Rusia, menggantung hubungan diplomatik pada peringkat tinggi dengan Moscow dan tidak menghantar kerabat diraja ke kejohanan bola sepak Piala Dunia 2018 yang akan dianjurkan oleh Rusia.

Rusia kemudian membalas dengan menutup konsulat Britain di Saint Petersburg serta organisasi pendidikan dan kebudayaan British Council.

Dalam langkah selanjutnya ke atas UK, kementerian luar Rusia memberi tempoh sebulan kepada Britain untuk mengurangkan jumlah kakitangan diplomatik di Rusia kepada jumlah sama kakitangan Rusia di Britain, satu tindakan yang London sebut sebagai “dikesali”.

“Ini tidak mengubah hakikat dalam perkara berkenaan: cubaan untuk membunuh dua orang di bumi Britain, yang tidak ada kesimpulan alternatif selain kesimpulan bahawa kerajaan Rusia bersalah,” kata seorang jurucakap bagi Pejabat Luar Britain.

Dua warga Australia turut diusir, dan Perdana Menteri Malcolm Turnbull berkata ia “reaksi yang mengecewakan, tetapi memang dijangkakan, oleh kerajaan Rusia kepada keputusan kerajaan Australia untuk mengusir dua diplomat Rusia yang bekerja sebagai pegawai perisikan yang tidak diisytiharkan”.

Di Kremlin, Presiden Vladimir Putin mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang membincangkan langkah balas terbaharu ke atas Britain dan sekutunya.

“Rusia tidak mencetuskan sebarang perang diplomatik,” kata jurucakap Putin, Dmitry Peskov. “Rusia tidak pernah memulakan sebarang pertukaran sekatan.”

Moscow pada Khamis lepas mengumumkan ia akan mengusir 60 diplomat Amerika Syarikat (AS) dan menutup konsulat AS di Saint Petersburg selepas pengusiran diplomatnya sendiri dan penutupan salah satu konsulatnya di AS.

Pada keseluruhannya lebih 150 diplomat Rusia sudah diarahkan untuk meninggalkan AS, negara anggota Kesatuan Eropah (EU), negara NATO dan negara lain yang menuduh Rusia terbabit dalam keracunan Skripal.

Menteri Luar Sergei Lavrov memberi amaran bahawa tindakan Moscow mungkin “bukan sahaja” bersimetri.

Di Saint Petersburg, orang awam berkata mereka mengalu-alukan keputusan untuk menutup konsulat jeneral AS.

“Ini adalah berita yang amat baik,” kata Viktor Glushko, 60. “Sudah tiba masanya.”

Seorang lagi lelaki menjerit: “Keluar dari sini!” ketika dia melintasi konsulat AS di mana kakitangan kelihatan memunggah kampit plastik ke dalam kenderaan kelmarin.

Di Washington, Jabatan Negara berkata justifikasi tidak ada bagi tindakan terbaharu oleh Rusia dan AS “berhak untuk bertindak balas”.

Media AS menunjukkan rakaman sebuah pesawat kerajaan Rusia di landasan lapangan terbang Dulles di Washington, dipercayai untuk membawa pulang warga Rusia yang diusir.

Namun seorang pegawai Jabatan Negara memberitahu AFP Rusia tidak disuruh mengurangkan kakitangan di misinya, dan oleh yang demikian ia dapat memohon untuk melantik diplomat baharu ke kedutaannya di AS bagi menggantikan mereka yang pulang.

Di London, kedutaan Rusia kelmarin menuduh pihak berkuasa British melakukan “satu lagi provokasi yang ketara”, dengan mendakwa mereka telah memeriksa sebuah pesawat Aeroflot tanpa kebenaran.

“Kami tidak ada penjelasan lain tetapi insiden di Heathrow ada kaitan dengan dasar permusuhan yang dijalankan oleh kerajaan UK berhubung Rusia,” mereka menyebut dalam satu kenyataan.

Polis Metropolitan London berkata dalam Twitter bahawa ia sedar tentang isu itu.

“Sila dinasihatkan bahawa Polis Metropolitan tidak menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah pesawat Airbus yang tiba dari Moscow di Heathrow,” tweet mereka tanpa memberi maklumat lanjut.

Hospital di UK di mana Skripal dan anak perempuannya sedang dirawat berkata Khamis lepas bahawa Yulia, 33, “semakin pulih dengan cepat dan tidak lagi berada dalam keadaan tenat” manakala Sergei yang berusia 66 tahun masih dalam keadaan tenat tetapi stabil. — AFP

Advertisement