Anda di sini

‘Roseanne’ kembali ke TV selepas dua dekad ‘menyepikan diri’

Advertisement
 (Dari kiri) produser eksekutif Whitney Cummings, barisan pelakon Michael Fishman, John Goodman, Jayden Rey, Roseanne Barr, Sara Gilbert, Sarah Chalke dan Emma Kenney menghadiri tayangan perdana ‘Roseanne’ baru-baru ini. — Gambar AFP
KEMBALI LAGI: (Dari kiri) produser eksekutif Whitney Cummings, barisan pelakon Michael Fishman, John Goodman, Jayden Rey, Roseanne Barr, Sara Gilbert, Sarah Chalke dan Emma Kenney menghadiri tayangan perdana ‘Roseanne’ baru-baru ini. — Gambar AFP

KOMEDI situasi kelas buruh yang popular ‘Roseanne’ kembali ke skrin televisyen di Amerika Syarikat pada Selasa lepas setelah kerumpangan selama dua dekad, dan mendapat reviu yang amnya positif di negara Amerika Syarikat (AS) yang begitu berpecah-belah dengan watak tajuk yang kini seorang nenek yang makan pil dan mengundi Trump.  

ABC menayangkan dua episod pertama bagi musim ke-10 rancangan yang memenangi anugerah itu – kembali buat pertama kali dalam tempoh 21 tahun dengan aktres Roseanne Barr yang segar-bugar sebagai matriark kolar biru dalam keluarga Conner.

Roseanne dan suaminya Dan, lakonan John Goodman, sudah semakin tua, dan mempunyai senarai panjang ubat-ubatan yang mereka kongsi untuk menjimatkan kos.  

“Jika anda tidak gembira, saya tidak ada peluang untuk rasa gembira,” kata Dan sambil memberikan ubat anti-kemurungan kepada Roseanne.

Anak perempuan mereka Darlene sudah balik ke rumah sebagai seorang ibu tunggal yang menganggur dengan seorang anak lelaki yang keliru dengan jantinanya dan seorang anak gadis remaja yang nakal.

Anak lelaki mereka DJ sudah kembali dari Syria, tetapi dengan isteri yang masih berkhidmat dalam tentera di luar negara.

Anak perempuan mereka Becky, 43, adalah seorang balu yang bekerja di restoran dan mahu menjadi ibu tumpang untuk bayaran sebanyak AS$50,000 (RM190,000), kerana terdesak untuk membayar kad kredit, membeli sebuah kereta, dan membayar wang pendahuluan bagi sebuah rumah.

Namun perkara yang menarik perhatian media adalah politiknya.

Gambaran tentang kehidupan kelas buruh amat jarang sekali ditunjukkan dalam televisyen AS, dan Hollywood pada umumnya tidak mempedulikan separuh warga negara yang mengundi untuk Donald Trump.

Adik perempuan Roseanne, Jackie (pemenang beberapa anugerah Emmy, Laurie Metcalf) memakai kemeja ‘Nasty Woman’ dan topi kucing warna merah jambu seperti apa yang dipakai di perarakan wanita yang menentang pentadbiran presiden Republikan itu.

“Apa khabar, memalukan?” dia menyapa Roseanne yang bermusuhan, sambil menggunakan perkataan yang kini popular selepas ia digunakan oleh Hillary Clinton untuk menggambarkan pengundi Trump.

Pertengkaran di antara adik beradik itu meliputi ekonomi, pilihan raya pada 2016 dan penjagaan kesihatan, tetapi Roseanne digambarkan bukan sebagai rasis mahupun fanatik yang berfikiran sempit – stereotaip bagi pengundi Trump yang sering kelihatan di dalam media.

Dia menghargai cucunya yang berkulit hitam dan mempertahankan Mark pada hari pertamanya di sekolah baharunya, dan memberitahu rakan sekelasnya bahawa cucunya akan menjadi seorang pereka fesyen terkenal.

“Ini rasa seperti saya. Saya sukakan warna-warna yang meletus,” kata Mark kepadanya mengenai kesukaannya terhadap pakaian wanita, sebelum Roseanne memeluknya dengan erat.

- ‘Kerelevanan segar’ -

“Ia garang dan lucu dan sedikit sedih. Dan seperti kerusi panjang lama yang kita tidak dapat buang, ia mungkin akan hidup hanya selama setahun dua lagi,” kata satu reviu dalam The New York Times.

The Washington Post menyifatkannya sebagai “kepulangan semula yang menarik kepada kehidupan” bagi komedi situasi itu, yang kali pertama bersiaran dari 1988-1997, dan kini “menunjukkan lapisan kerelevanan yang segar”.

“Mereka lebih tua dan lebih sedih dan, bagi satu watak, amat sedar mengenai kematian Impian Amerika,” kata akhbar itu.

“Jika anda peminat Roseanne asal, ini adalah yang terbaik mampu dicapainya,” rumus The Hollywood Reporter.

Barr bertanding untuk jawatan presiden bersama Parti Hijau serta Parti Keamanan dan Kebebasan pada 2012, dan mengundi untuk Barack Obama sebelum dia menjadi penyokong Trump yang lantang, dengan menyatakan dia mahu Trump “menggegarkan” status quo (keadaan semasa).   

“Saya selama ini cuba menjadikannya satu gambaran sebenar bagi masyarakat yang kita diami,” kata pelawak berusia 65 tahun mengenai rancangan itu pada Januari lalu.  

“Saya rasa separuh rakyat mengundi untuk Trump dan separuh lagi tidak, jadi ia adalah realistik.”

Goodman, yang mungkin telah menikmati karier paling berprofil tinggi di antara kesemua barisan pelakon dengan watak filem yang kerap, mungkin melakukan kepulangan yang paling berjaya – wataknya telah dimatikan dalam siri asal, kematian yang kini dijelaskan sebagai satu fantasi.

“Bagi saya, ia mudah sekali, seperti terjatuh dari katil, memakai kasut lama,” katanya.

Rancangan itu dengan cepat melonjak ke tempat teratas dalam senarai trending di Twitter, dengan hashtag yang memaparkan kerusi panjang usang keluarga itu. — AFP

Advertisement