Anda di sini

Pope Francis ‘malu’ generasi muda mewarisi dunia yang ‘retak’

Advertisement
 Pope Francis berucap kepada hadirin ketika perarakan lilin Via Crucis (Jalan Salib) di Colosseum pada Jumaat Agung kelmarin di Rom. Umat Kristian di seluruh dunia menyambut Minggu Kudus bagi memperingati penyaliban Yesus Kristus dan kebangkitannya pada Hari Paska. — Gambar AFP
HARI KUDUS: Pope Francis berucap kepada hadirin ketika perarakan lilin Via Crucis (Jalan Salib) di Colosseum pada Jumaat Agung kelmarin di Rom. Umat Kristian di seluruh dunia menyambut Minggu Kudus bagi memperingati penyaliban Yesus Kristus dan kebangkitannya pada Hari Paska. — Gambar AFP

ROM: Pope Francis kelmarin berkata beliau “malu” kerana generasi muda akan mewarisi dunia yang “retak kerana perpecahan dan peperangan”.

Dalam ucapannya di Rom pada akhir perarakan Jalan Salib yang tradisional sempena Jumaat Agung, pemimpin gereja itu berkata dunia “ditelan oleh egoisme di mana golongan muda, orang sakit, warga emas dipinggirkan”.

Di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat, kira-kira 20,000 jemaat, kebanyakannya membawa lilin, berhimpun di sekeliling Colosseum di Rom untuk upacara keagamaan yang memperingati perjalanan Yesus ke salib di mana dia disalibkan.

Ibu negara Itali telah diletakkan di bawah pengawasan ketat selepas minggu yang menyaksikan siri tangkapan antikeganasan.

Menteri Dalam Negeri Itali Marco Minniti memberi amaran pada minggu ini tentang risiko tinggi bagi serangan di Itali, dan kira-kira 10,000 anggota polis telah dikerahkan untuk menjamin keselamatan di Rom, khususnya sewaktu perayaan Paska yang diketuai paus pada hujung minggu ini yang mencapai kemuncaknya dengan perayaan Hari Paska pada hari ini (Ahad). — AFP

Advertisement