Anda di sini

Malala tiba di lembah Swat, Pakistan tempat dia ditembak

Advertisement
 Malala (tengah), tiba bersama bapanya Ziauddin Yousafzai (dua kiri), adiknya Atal Yousafzai (kiri) dan pengetua Kolej Kadet Swat Guli Bagh, semasa lawatan ke kampung halamannya kira-kira 15 kilometer di luar Mingora, semalam. — Gambar AFP
IMBAU KENANGAN: Malala (tengah), tiba bersama bapanya Ziauddin Yousafzai (dua kiri), adiknya Atal Yousafzai (kiri) dan pengetua Kolej Kadet Swat Guli Bagh, semasa lawatan ke kampung halamannya kira-kira 15 kilometer di luar Mingora, semalam. — Gambar AFP

MINGORA: Malala Yousafzai mendarat di lembah Swat semalam untuk lawatan pertamanya ke wilayah Pakistan yang dahulu penuh dengan puak militan dan di mana beliau ditembak pada bahagian kepala oleh anggota Taliban lebih lima tahun lalu.

Lawatan oleh penerima Hadiah Keamanan Nobel berusia 20 tahun itu dirahsiakan dan beliau diiringi tentera Pakistan, yang menyediakan kawalan keselamatan yang ketat, selain ibu bapa dan dua adik lelakinya.

Selepas dibawa oleh helikopter tentera ke wilayah barat laut itu dari Islamabad, beliau berjumpa dengan rakan dan keluarga sebelum beliau melawat Kolej Kadet Swat Guli Bagh, kira-kira 15 kilometer di luar Mingora, bandar utama dalam daerah tersebut.

Beliau kelihatan gembira ketika tiba di sekolah tersebut, di mana beliau dijangka berucap kepada pelajar sebelum beliau kembali ke Islamabad.

Mingora merupakan tempat tinggal keluarga Malala dan tempat di mana beliau bersekolah pada 9 Oktober 2012 ketika seorang lelaki bersenjata menaiki bas sekolahnya, bertanya “Siapa Malala?”, dan menembaknya.

Beliau menerima rawatan mula-mula di sebuah hospital tentera sebelum beliau dibawa dengan helikopter ke bandar raya Birmingham di Britain.

Sejak itu pemulihannya yang hampir ajaib, dan karier yang tidak mengenal erti lelah sebagai aktivis pendidikan, telah menjadikannya simbol global bagi hak asasi manusia, dan pada 2014 beliau menjadi manusia paling muda pernah dianugerahkan dengan Hadiah Keamanan Nobel ketika beliau baharu berusia 17 tahun.

Lawatan itu diadakan dua hari selepas Malala, sekarang pelajar di Universiti Oxford di UK, melakukan kepulangan yang emosional ke Pakistan, di mana lawatannya yang tidak diumumkan telah disambut dengan rasa bangga dan rasa gembira.

Beliau tidak dapat menahan tangisan ketika beliau menyampaikan ucapan menerusi televisyen pada Khamis lepas, dengan berkata ia adalah impiannya untuk kembali ke negara asalnya, dan berjanji kepada media Pakistan bahawa beliau akan kembali secara tetap selepas beliau menamatkan pengajiannya nanti.

Bagaimanapun beliau turut menerima kritikan yang kuat. Malala dihormati ramai pada peringkat antarabangsa, tetapi pendapat adalah berbelah-bahagi di Pakistan, di mana segelintir orang konservatif menganggapnya sebagai ejen Barat yang sedang menjalankan misi untuk memalukan negaranya.

Spekulasi telah berkisar dengan meluas di dalam negara itu mengenai sama ada beliau akan pergi ke Swat ataupun tidak dalam lawatannya.

Wilayah bergunung-ganang itu, dahulu destinasi pelancongan yang terkenal kerana pemandangannya yang asli dan tidak tercemar, dikepung oleh Taliban Pakistan pada 2007.

Puak militan itu melaksanakan pemerintahan berdarah yang kejam, tetapi tentera mengusir mereka keluar pada 2009 dalam operasi yang disebut-sebut sebagai kisah kejayaan dalam pertarungan Pakistan yang lama dengan ekstremisme. Baru-baru ini sekatan ke atas pelancong yang melawat kawasan itu telah ditarik balik.

Bagaimanapun keselamatan masih rapuh, seperti apa yang ditunjukkan oleh serangan ke atas Malala tiga tahun selepas operasi tentera dilancarkan.

Pada Februari tahun ini, 11 kakitangan tentera terkorban dalam satu serangan, dan penganalisis memberi amaran puak militan masih kuat di sana. — AFP

Advertisement