Anda di sini

16 maut dalam keganasan sehari paling buruk di Gaza

Advertisement
 Penduduk Palestin membawa jenazah Hamdan Abu Amsha,yang dibunuh sehari sebelum ituoleh tentera Israel ketika pertelingkahan meletus apabila puluhan ribu penduduk Gaza berarak dekat sempadan Israel dengan wilayah itu untuk memperingati Hari Tanah, sewaktu pengebumiannya di Beit Hanun, utara semenanjung Gaza semalam.  — Gambar AFP
TERUS BERDARAH: Beit Hanun, Wilayah Palestin : Penduduk Palestin membawa jenazah Hamdan Abu Amsha,yang dibunuh sehari sebelum ituoleh tentera Israel ketika pertelingkahan meletus apabila puluhan ribu penduduk Gaza berarak dekat sempadan Israel dengan wilayah itu untuk memperingati Hari Tanah, sewaktu pengebumiannya di Beit Hanun, utara semenanjung Gaza semalam. — Gambar AFP

KOTA GAZA, Wilayah Palestin: Pertelingkahan meletus apabila puluhan ribu penduduk Gaza berarak dekat sempadan Israel dalam satu protes besar-besaran, dan 16 penduduk Palestin maut manakala ratusan lagi cedera dalam keganasan sehari paling buruk dalam konflik di sana sejak perang Gaza pada 2014.

Tentera Israel menyasari tiga tapak Hamas di Semenanjung Gaza dengan serangan kereta kebal dan serangan udara selepas apa yang ia sebut sebagai cubaan untuk melancarkan serangan tembakan ke atas askar di sepanjang sempadan yang tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Penunjuk perasaan, termasuk wanita dan kanak-kanak, berhimpun di beberapa tapak di seluruh wilayah yang disekat itu dan diapit oleh Israel di sepanjang sempadan timur dan utaranya.

Penunjuk perasaan yang lebih kecil jumlahnya berarak sehingga beberapa ratus meter dari pagar sempadan yang dikawal ketat, dan tentera Israel menggunakan gas pemedih mata dan peluru hidup untuk mengundurkan mereka.

Pasukan keselamatan Israel menggunakan dron untuk melepaskan gas pemedih mata ke atas mereka yang berada di sepanjang sempadan, dalam salah satu kegunaan pertama sedemikian bagi alat tersebut, kata seorang jurucakap polis.

Kementerian kesihatan di Gaza berkata 16 penduduk Palestin dibunuh oleh tentera Israel.

Lebih 1,400 cedera, termasuk 758 oleh peluru hidup, manakala yang lain dicederakan oleh peluru getah dan terhidu gas pemedih mata, katanya.

Penduduk Palestin menuduh Israel menggunakan kekerasan yang tidak seimbang, sama seperti Turki.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan rundingan kecemasan kelmarin untuk membincangkan risiko keganasan Israel-Palestin yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza, tetapi gagal menyetujui kenyataan bersama mengenai pertumpahan darah yang telah berlaku.

“Ada kebimbangan bahawa situasi itu mungkin akan bertambah buruk dalam tempoh beberapa hari akan datang,” kata penolong setiausaha agung PBB bagi hal ehwal politik, Taye-Brook Zerihoun, yang menggesa semua bersabar.

Tentera Israel mendakwa protes utama berkenaan digunakan sebagai samaran oleh puak militan untuk menembusi sempadan atau melancarkan serangan.

“Ia bukan demonstrasi yang aman,” kata seorang pegawai tentera Israel kepada wartawan.

Tentera berkata ia menganggarkan kira-kira 30,000 penunjuk perasaan menyertai protes tersebut.

“Perusuh menolak tayar yang dibakar dan melontar bom api dan batu ke pagar keselamatan dan ke arah tentera Israel, yang membalas dengan kaedah peleraian rusuhan dan menembak ke arah penghasut utama,” katanya.

Penunjuk perasaan menuntut agar ratusan ribu pelarian Palestin yang meninggalkan wilayah tersebut atau diusir sewaktu peperangan ketika Israel diwujudkan pada 1948 dibenarkan pulang.

Pemimpin Hamas Ismail Haniya menyertai tunjuk perasaan, yang dipercayai kali pertama beliau sampai begitu dekat dengan sempadan sejak sekian lama.

Hamas dan Israel sudah berperang sebanyak tiga kali sejak 2008, dan peperangan terakhir pada 2014 berakhir dengan gencatan senjata yang rapuh.

Demonstrasi itu dirancang untuk diadakan selama enam minggu, sehingga perasmian kedutaan baharu Amerika Syarikat (AS) di Baitulmuqaddis sekitar 14 Mei.

Langkah memindahkan kedutaan itu memburukkan lagi ketegangan yang menyelubungi perarakan berkenaan.

Tindakan Presiden AS Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada Disember lalu telah menimbulkan kemarahan penduduk Palestin, yang menuntut sektor timur di kota itu sebagai ibu kota negara mereka pada masa depan.

Protes itu juga bermula ketika penduduk Yahudi di Israel menyambut Hari Raya Paska.

Israel mengumumkan “zon tentera tertutup dalam kawasan di sekeliling Semenanjung Gaza”, dan menuduh Hamas yang memerintah wilayah tersebut menggunakan nyawa orang awam “bagi tujuan keganasan”.

Menteri Pertahanan Israel Avigdor Lieberman berkata dalam satu tweet yang ditujukan kepada penduduk Gaza dalam bahasa Ibrani dan bahasa Arab bahawa “kepimpinan Hamas bermain dengan nyawa anda”.

Protes di sepanjang sempadan biasa berlaku tetapi protes ‘March of Return’ adalah berbeza kerana ia bertujuan untuk melibatkan keluarga dengan wanita dan kanak-kanak yang berkampung dekat sempadan selama berminggu-minggu.

Penunjuk perasaan Saeed Juniya mendirikan sebuah khemah kecil beberapa ratus meter dari pagar sempadan ke timur Kota Gaza, di mana dia diiringi isteri dan anak-anaknya.

“Kami berazam dan tidak takut kerana kami tidak melakukan perkara yang salah. Rakyat menuntut tanah mereka dan mahu pulang ke negara mereka,” katanya.

Penganjur berkata kem-kem berkenaan akan terus didirikan sehingga 15 Mei apabila penduduk Palestin memperingati Nakba, atau “malapetaka”, daripada penubuhan Israel pada 1948 dengan penghijrahan lebih 700,000 penduduk Palestin.

Menurut PBB, kira-kira 1.3 juta daripada dua juta penduduk di Gaza adalah pelarian dan protes itu menuntut agar mereka dibenarkan untuk kembali ke bumi yang kini adalah Israel.

Rancangan Washington untuk melancarkan kedutaan baharunya selari dengan ulang tahun ke-70 penubuhan negara Israel, meningkatkan lagi kemarahan penduduk Palestin.

“Kami amat sedih dengan kehilangan nyawa di #Gaza pada hari ini,” tulis jurucakap Jabatan Negara AS Heather Nauert dalam Twitter.

“Masyarakat antarabangsa fokus kepada usaha mengambil langkah yang akan menambah baik kehidupan penduduk Palestin dan sedang mengusahakan pelan damai. Keganasan tidak melanjutkan kedua-dua matlamat tersebut.”

Protes dilancarkan ketika penduduk Palestin mengadakan Hari Tanah, yang memperingati pembunuhan enam penunjuk perasaan Arab yang tidak bersenjata di Israel pada 1976. — AFP

Advertisement