Anda di sini

Steven Spielberg beralih kepada dunia maya dalam ‘Ready Player One’

Advertisement
__alt__

DALAM filem baharu Steven Spielberg berjudul ‘Ready Player One’ yang kini sedang ditayangkan di pawagam, warga yang tidak berpuas hati pada tahun 2045 memakai set kepala realiti maya (VR) untuk memasuki alam semesta digital di mana mereka dapat menari di kelab atau berlumba dalam kereta mewah di jalan-jalan New York.

 Kembali ke dunia nyata pada 2018, penggemar VR berharap filem aksi rancak itu akan mencetuskan minat baharu dalam teknologi tersebut dan membantu merangsang apa yang kini adalah satu pasaran khusus.

 ‘Ready Player One’, berdasarkan sebuah novel tulisan Ernest Cline, memaparkan sekumpulan remaja yang menghabiskan hari-hari mereka dengan memakai sarung tangan, sut dan gogel VR, untuk menggerakkan avatar mereka menerusi sebuah bumi ajaib komputer dipanggil Oasis.

 Ia penuh dengan kemungkinan yang tidak terkira untuk bekerja, belajar dan bersosial.

 “Anda ada pilihan untuk menghabiskan seluruh masa anda di sana, atau menjalin hubungan dengan dunia sebenar dengan manusia sebenar, hubungan mata sebenar,” kata Spielberg kepada Reuters dalam satu temu ramah.

 “Dalam satu segi, cerita kita adalah satu kisah amaran selain satu pengembaraan yang hebat.

” Hero filem itu, Wade Watts (Tye Sheridan), memasuki Oasis untuk lari daripada kehidupannya yang menyedihkan di sebuah taman treler Ohio.

 Apabila tempat pelindungannya itu diancam, Watt menyertai avatar lain dalam pertandingan yang dapat memberi kuasa kepada mereka untuk melindungi dunia maya.

 Keupayaan VR yang sedia ada adalah jauh lebih terhad berbanding apa yang digambarkan di dalam filem itu.

 Untuk hiburan, penggunaan VR yang paling berleluasa adalah dalam permainan, di mana pemain dapat bertarung dalam ‘setting’ 360 darjat yang dilihat menerusi alat kepala dari unit Oculus milik Facebook, HTC Corp dan lain-lain.

 Spielberg adalah antara penerima awal VR.

 Dia telah bermainmain dengan sebuah set kepala di rumah sebelum dia membuat ‘Ready Player One’, dan dia memasukkan teknologi itu di belakang tabir.

 Untuk muncul di Oasis, pelakon mesti berlakon dalam sebuah bilik putih yang hampir kosong dengan memakai pakaian ‘motion-capture’ supaya pergerakan mereka dapat dipindahkan kepada set yang dicipta secara digital.

 Spielberg membina semula set Oasis dalam VR.

 “Semua orang berpeluang untuk memakai set kepala, dan tiba-tiba, wah, anda di sana di dalam set itu sendiri,” katanya.

 “Ia memberi sejenis orientasi, jadi mereka bukan hanya berlakon dalam abstrak sahaja.

” Filem itu, yang diedar oleh Warner Bros milik Time Warner Inc, ditayangkan di atas skrin filem tradisional, tanpa memerlukan set kepala.

 Penyokong VR berharap ‘Ready Player One’, yang penuh dengan kesan khas dan disokong oleh runut bunyi rock tahun 1980an yang rancak, mengujakan audiens dan meningkatkan rasa ingin tahu mereka.

 Beberapa pengalaman VR yang berkaitan, seperti lawatan ke dalam kelab tarian dalam filem itu, akan ditawarkan dalam set kepala HTC Vive menerusi kerjasama rasmi dengan filem itu.

 Orang yang tidak memiliki peralatan itu dapat pergi ke arked VR untuk mencuba teknologi itu.

 “Kami benar-benar teruja untuk menunjukkan kepada orang bahawa VR bukan sesuatu yang futuristik,” kata JB McRee, pengurus kanan pemasaran produk di HTC Vive.

 “Ia benar-benar sesuatu yang wujud sekarang.”

Aktres Lena Waithe, yang berlakon sebagai seorang mekanik auto dalam Oasis, berkata dia seronok dengan VR tetapi menggalakkan had kepada masa yang dihabiskan dalam dunia maya.

 “Ia menakjubkan, tetapi ia boleh jadi sedikit berbahaya jika kita bermain terlalu banyak di dalamnya,” katanya.

 “Sedikit keseimbangan perlu ada.  Saya rasa itulah mesej yang kami cuba sampaikan dengan filem ini.” — Reuters

Advertisement