Anda di sini

Makmal Analisis Air FSSA UMS bertaraf dunia

Advertisement
 Fadilah (tiga kanan) menyampaikan Sijil Akreditasi Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) kepada Shahril.
DIIKTIRAF: Fadilah (tiga kanan) menyampaikan Sijil Akreditasi Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) kepada Shahril.

KOTA KINABALU: Makmal Analisis Air, Fakuliti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapat pengiktirafan antarabangsa setelah menerima Sijil Akreditasi MS ISO/IEC 17025 dari Jabatan Standard Malaysia pada Khamis.
Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia Datuk Fadilah Baharin berkata, melalui pengiktirafan itu, UMS kini mempunyai dua makmal yang diakredit sebagai makmal bertaraf dunia.
“Selain Makmal Analisis Air UMS yang menjalankan pengujian kimia iaitu fokus kepada pemantauan alam sekitar, makmal pertama mendapat akreditasi adalah Makmal Haemostasis UMS dari Fakuliti Perubatan dan Sains Kesihatan iaitu MS ISO 15189 bagi pengujian Hematologi.
“Diharap warga UMS dapat memanfaatkan peluang ini bagi mengembangkan lagi perkhidmatan pengujian dan kalibrasi dengan mengenal pasti skop serta perkhidmatan yang memberi impak kepada peningkatan ekonomi khususnya kepada universiti dan rakyat Sabah umumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) berdasarkan Standard MS ISO/IEC 170025:2005, di sini pada Khamis.
Fadilah berkata, pihaknya sudah mengakredit sejumlah 869 makmal di seluruh Malaysia sejak SAMM dilaksanakan pada 1987 sehingga kini iaitu sudah mencecah 31 tahun.
Bagaimanapun katanya, makmal yang masih mengekalkan status akreditasi adalah sebanyak 692 sahaja dalam pelbagai jenis pengujian dan kalibrasi.
“Daripada jumlah itu, 645 makmal adalah makmal pengujian pelbagai bidang dan 47 makmal khusus dalam bidang perubatan.
“Setakat ini, hanya sebuah makmal kalibrasi di negeri ini yang masih dalam proses pemohonan untuk mendapatkan akreditasi. 
Ini bermakna, belum ada makmal kalibrasi yang memperoleh status akreditasi di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata, semangat gigih dan kerjasama yang ditunjukkan oleh kakitangan Makmal Analisis Air haruslah dicontohi dan dijadikan teladan oleh semua kakitangan universiti itu.
Katanya, kejayaan FSSA dalam mencapai tahap sedemikian juga bertepatan bagi menyahut setiap program dan pelan yang sedang dan akan dilaksanakan kerajaan.
“Saya mengharapkan perkhidmatan ini akan diperluas kepada agensi luar UMS dan mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI) analisis sampel iaitu mengikut keperluan pelanggan.
“Kerjasama ini bukan sahaja dalam aspek perkhidmatan analisis air tetapi ia juga akan membuka peluang kepada felo penyelidik di unit ini untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta.
“Di samping itu, makmal ini boleh menjadi satu tempat yang sesuai untuk pelajar dari universiti tempatan untuk menjalanlan latihan industri,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS Profesor Dr Shahril Yusof.
Makmal Analisis Air yang dibangunkan pada 2014 di bawah Unit Penyelidikan Air dan membuka perkhidmatan ujian analisis air sejak 2015 lagi kepada penyelidik, orang awam serta industri.

Advertisement