Anda di sini

Suami isteri dituduh bunuh anak angkat

Advertisement

MIRI: Sepasang suami isteri masing-masing diperintahkan Mahkamah Tinggi pagi semalam supaya membela diri atas tuduhan membunuh anak angkat mereka yang berusia dua tahun.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Dr Alwi Wahab setelah mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Mei depan untuk mendengar keterangan bela diri pasangan terbabit, manakala kedua-dua tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Heirul Nizam Shahazaman, 35, dan Khairunnisa Kathy Johari, 31, dari Lot 2341, Jalan Piasau Jaya 3B, Fasa 4 di sini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh didapati melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Brian Yusof yang berusia dua tahun dan lima bulan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama antara jam 9 malam hingga 9.55 malam, 2 Julai 2015 di rumah mereka di Lot 2341, Jalan Piasau Jaya 3B, Fasa 4 di sini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela Ranbir Singh dan Gurvir Singh Sandhu.

Terdahulu, peguam bela tertuduh memberitahu akan memanggil dua saksi pembelaan untuk memberi keterangan di mahkamah kelak.

Advertisement