Anda di sini

Salah guna dadah, lelaki dibicara 6 April

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 6 April depan untuk pengurusan kes seorang lelaki yang dituduh menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Sementara itu, tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut RM2,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Penetapan tarikh itu dibuat Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor yang memohon ditetapkan tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh mengaku tidak bersalah.

Danny Delet, 27, dari Jalan Semaba, Kuching telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasarkan pertuduhan kes, Danny dituduh menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah itu ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.40 pagi, 1 Januari lalu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.

Advertisement