Anda di sini

Protege Siti Sarah juara mingguan konsert pertama Mentor Otai

Advertisement
__alt__

PADA Ahad yang lepas, lapan protege, Azran & Elvira (Misha Omar), Alina & Ayie (Siti Sarah), AJ & Wan (Tam Spider), serta Azee & Lokman (Zarul Husin) telah berentap di pentas Mentor Otai buat kali pertama.

 Berjaya mengatasi kegugupan pada malam itu, Alina telah menyampaikan lagu ‘Samar Bayangan’ dengan begitu baik dan dinobatkan juara mingguan.

 Beliau juga membawa pulang sebuah hadiah misteri sumbangan Fellera Beauty.

 Walau bagaimanapun, Azran dan Lokman telah menyampaikan persembahan yang kurang memuaskan menyebabkan mereka jatuh ke tangga dua terbawah.

 Namun begitu, bersepakat dengan Mark Adam, ketua juri tetap Edry Abdul Halim telah menyelamatkan mereka daripada penyingkiran dan memberikan mereka satu lagi peluang untuk menebus kekurangan mereka.

 Menurut Siti Sarah, Mentor kepada juara mingguan, Alina Hassan, kejayaan Alina pada malam itu terletak pada penghayatannya.

 “Selama seminggu ini, Kak Alina terlalu memikirkan gerak gerinya di atas pentas sehingga menjejaskan penghayatan lagunya.

 Namun, malam ini Kak Alina telah memberikan fokus penuh dalam penyampaiannya, dan Alhamdulillah, dia berjaya,” kata Sarah dalam satu kenyataan.

 “Sebagai mentornya, saya akan sokong perjuangan Kak Alina sehingga Kak Alina berjaya nanti, Insya Allah,” ujarnya lagi.

 Konsert Battle Pertama Mentor Otai telah dibuka dengan persembahan duet-medley Misha Omar dan Siti Sarah yang telah mendendangkan medley ‘Dedebu Cinta’ dan ‘Bersamamu’.

 Mentor Zarul Husin dan Tam Spider pula telah membawakan lagu ‘Bukalah Hatimu’ dan ‘Kasih Latifah’.

 Selain itu, konsert ini turut menampilkan persembahan protege pilihan Amizah dengan lagunya ‘Senggol Senggolan Cubit Cubitan’ dan diakhiri dengan persembahan tetamu jemputan, Joey Bumiputra Rockers (BPR) dengan persembahan medleynya ‘Dari Sinar Mata & Aku Hanya Serangga’.

 Kesemua persembahan protege akan diadili oleh juri tetap, Edry Abdul Halim dan Mark Adam yang mempengaruhi 50 peratus daripada markah keseluruhan.

 Markah mereka akan ditambahkan pula dengan 20 peratus undian juri awam, dan 30 peratus undian atas talian melalui laman web www.xtra.com.my/mentorotai.

 Protege yang mempunyai markah terendah di setiap akhir konsert mingguan, mungkin akan tersingkir.

 Juara Mentor Otai akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, manakala hadiah wang tunai untuk pemenang Naib Juara Mentor Otai adalah RM50,000 dan tempat ketiga adalah berjumlah RM20,000.

 Bersama Haziq Hussni (Hot FM) dan Elly Mazlein sebagai hos, Mentor Otai akan bersiaran secara langsung pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

 Siaran ulangan pada setiap hari Jumaat, jam 9.30 pagi di TV3 atau di portal video tonton.

Advertisement