
KOTA KINABALU: Program Interaksi Bersama Mayor sempena Program Kepimpinan Asrama 1Malaysia (A1M) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah usaha memberikan pengalaman serta pengetahuan yang lebih baik kepada peserta.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai berkata program julung kali yang dianjurkan oleh Maktab Sabah itu disertai oleh tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Sultan Ibrahim Johor, Institut Victoria Kuala Lumpur dan Kolej Tun Datuk Tuanku Hj Bujang Sarawak.
“Program ini bukan sahaja disertai oleh Maktab Sabah tetapi juga melibatkan empat negeri termasuk Sabah yang menjadi tuan rumah. Kita turut membantu penganjuran ini agar ia berjaya kerana ini adalah satu program yang sangat baik.
“Selain daripada mengadakan kayuhan berbasikal antara mayor, pihak pengurusan sekolah dan pelajar, program ini juga akan melawat beberapa tempat sekitar bandar raya Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Interaksi Bersama Mayor sempena Program Kepimpinan A1M KPM, di sini pada Rabu.
Yeo berkata selain memberikan pengalaman, program berkenaan juga mampu mewujudkan interaksi mahupun hubungan yang erat antara pihak pengurusan sekolah, pelajar dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Katanya sepanjang program Kepimpinan A1M KPM itu juga merangkumi aktiviti luar, interaksi sosial dan proses pembelajaran luar kelas yang mana membentuk satu program lawatan sambil belajar.
“Ini adalah program yang terbaik dan sudah pasti mereka mempelajari mengenai alam sekitar, pembangunan sosial Sabah, mempelajari budaya di sini sambil berinteraksi antara sesama,” katanya.
Turut hadir, Ketua Unit Asrama Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM Bahrin Madsuki.