Anda di sini

‘Pacific Rim’ singkirkan ‘Black Panther’ dari singgah sana box office AS

Advertisement

FILEM blockbuster ‘Pacific Rim: Uprising’ menduduki tempat pertama di ‘box office’ Amerika Utara pada hujung minggu lepas, dengan pungutan sebanyak AS$28.1 juta (RM107 juta).

Sekuel penuh aksi itu menyingkirkan ‘Black Panther’ dari tempat nombor satu selepas lima minggu berturut-turut, menurut penjejak industri Exhibitor Relations, tetapi filem itu menarik pelbagai reviu dan gagal mencapai AS$37.3 juta (RM142 juta) yang diperolehi ‘Pacific Rim’’ ketika ia ditayangkan buat julung kalinya pada 2013.

Sepuluh tahun selepas ‘Pacific Rim’, ‘Uprising’ menceritakan tentang generasi juruterbang baharu daripada mekanoid tentera gergasi ‘Jaeger’ dari filem pertama – yang melawan raksasa Kaiju yang begitu besar dan mahu menamatkan umat manusia.

Filem Universal itu berkisar sekitar bintang ‘Star Wars’ John Boyega sebagai Jake Pentecost, anak kepada watak Idris Elba, Stacker, yang terkorban untuk menyelamatkan dunia dalam filem pertama.

Boyega yang dilahirkan di London turut memainkan peranan sebagai penerbit bersama Guillermo del Toro, pengarah filem pertama.

Sementara sekuel ‘Pacific Rim’ naik untuk menonjolkan diri, masanya sudah tiba bagi King T’Challa dari Wakanda untuk menyerahkan mahkota ‘box office’.

‘Black Panther’ jatuh ke tempat kedua dengan pendapatan sebanyak AS$17.1 juta (RM65 juta).  

Filem Marvel yang hit itu, dibintangi Chadwick Boseman, Michael B. Jordan dan Lupita Nyong’o, mengaut AS$631 juta (RM2.4 bilion) di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada – mengatasi ‘The Avengers’ (2012) sebagai filem adiwira paling laris dalam sejarah AS.

Hasil penguasaan yang mengagumkan di ‘box office’ di mana ia terus memecah rekod, ia adalah filem pertama sejak ‘Avatar’ (2009) untuk menduduki lima tempat teratas berturut-turut, dan filem kelima paling laris dalam sejarah di AS.

Menduduki tempat ketiga bagi minggu kedua adalah drama berasaskan kepercayaan yang berbajet rendah ‘I Can Only Imagine’, yang mengaut AS$13.6 juta (RM51.7 juta).

Dibuat dengan bajet sederhana AS$7 juta (RM26.6 juta), filem itu dibintangi J. Michael Finley sebagai penyanyi utama sebuah kumpulan muzik Kristian yang popular. Denis Quaid dan Cloris Leachman turut membintanginya.

Di tempat keempat dengan AS$10.6 juta (RM40.3 juta) adalah filem yang baharu dikeluarkan oleh Paramount ‘Sherlock Gnomes’, sekuel kepada  ‘Gnomeo and Juliet’ pada tahun 2011.

Animasi Paramount itu memaparkan James McAvoy dan Emily Blunt, yang meminta bantuan Sherlock (Johnny Depp) untuk menyiasat beberapa kehilangan ‘gnome’ taman.

Jatuh dari tempat kedua pada minggu lepas ke tempat kelima pada kali ini adalah ‘Tomb Raider’, sebuah filem pengembaraan yang dibikin semula oleh Warner Bros. lakonan aktres Sweden, Alicia Vikander, sebagai Lara Croft yang tidak gentar dan garang.

Filem itu, yang turut dibintangi Dominic West dan Kristin Scott Thomas, mengaut AS$10.1 juta (RM38.4 juta) untuk pendapatan keseluruhan AS$41.4 juta (RM157 juta).

Melengkapkan 10 filem teratas di box office AS pada hujung minggu lalu adalah ‘A Wrinkle In Time’ (AS$8.2 juta), ‘Love, Simon’ (AS$7.6 juta), ‘Paul, Apostle of Christ’ (AS$5.2 juta), ‘Game Night’ (AS$4.13 juta) dan ‘Midnight Sun’ (AS$4.12 juta). — AFP

Advertisement