Anda di sini

Kerajaan komited perkukuh institusi JKKK

Advertisement

SANDAKAN: Kerajaan komited untuk terus memperkukuh institusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam aspek kepimpinan dan kecekapan tadbir urus kampung.

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata institusi JKKK penting untuk meningkatkan lagi penglibatan rakyat dalam memajukan luar bandar, sebagai mata dan telinga serta penghubung antara kerajaan dengan rakyat.

Katanya untuk tujuan itu, kerajaan negeri menyokong segala usaha dan program berterusan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dalam melaksanakan inisiatif memastikan kepimpinan desa diberi latihan untuk meningkatkan kecekapan mengurus tadbir kampung.

“Usaha kerajaan mengadakan program sijil tadbir urus desa jelas membuktikan kepercayaan dan keyakinan tinggi kepada JKKK dalam menjalankan peranan di peringkat akar umbi,” katanya pada majlis penutupan Program Sijil Tadbir Urus Desa di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Zakaria Mohd Edris.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Bahagian Penyelarasan dan Pemantauan KKLW Abdul Rahim Mokhtar, Timbalan Pengarah Institut Kemajuan Desa (INFRA) Azizah Ahmad dan Timbalan Dekan UniKL Prof Madya Dr Abdul Razak Abdul Hadi.

Program tiga hari itu disertai 233 peserta terdiri daripada anggota JKKK dan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) dari lima kawasan Parlimen iaitu Beluran, Libaran, Batu Sapi, Sandakan dan Kinabatangan.

Musa mengingatkan anggota JKKK di negeri ini untuk memainkan peranan lebih berkesan khususnya menyedarkan rakyat tentang pentingnya mengekalkan kerajaan sedia ada yang terbukti membela nasib dan kepentingan rakyat di semua peringkat.

Dalam pada itu, sejak dilancarkan pada tahun lepas hingga bulan ini, seramai 915 peserta di Sabah telah dilatih di bawah program itu dengan dua siri sebelum ini diadakan di Bahagian Keningau dan Kota Kinabalu.

Program ini dilaksana di bawah Pelan Transformasi Luar Bandar KKLW bagi memperkasa kepimpinan peranan JKKK, JKKK Persekutuan dan JKKK Orang Asli yang sehingga kini disertai 6,849 orang di seluruh negara.

Lima modul program itu adalah pentadbiran desa, pengurusan kewangan, keusahawanan, pemantauan projek serta tanggungjawab sebagai Penolong Pendaftar Pemilih. — Bernama

Advertisement