
KOTA KINABALU: Seorang pemilik kedai cermin mata kerugian sehingga puluhan ribu apabila kedainya di Jalan Padas Segama musnah terbakar awal pagi Jumaat.
Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Khatizah Rahaban berkata kejadian berlaku apabila mangsa ingin memulakan perniagaan kira-kira jam 8.20 pagi.
“Kita menerima panggilan kecemasan jam 8.29 pagi dan menggegaskan 24 pegawai dan anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan sebuah lot kedai menjual cermin mata di tingkat bawah dengan keluasan 20X50 kaki persegi,” katanya.
Menurutnya anggota bomba melakukan operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air dari jentera bomba.
“Kebakaran dapat dikawal jam 8.51 pagi dan api dipadam sepenuhnya jam 9.07 pag, bagaimanapun keseluruhan kedai dilaporkan musnah dalam kejadian ini.
“Lot kedai di sebelah turut terjejas akibat bahangan asap membabitkan keluasan sehingga 10X20 kaki persegi,” katanya sambil menambah kerja-kerja penyiasatan dan pemadaman sisa kebakaran masih dalam tindakan selanjutnya.